Pasukan Jihad tekad kawal inflasi, harga makanan

Annuar melihat barangan jualan di khemah jualan Keluarga Malaysia sempena Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV pada Ahad. - Foto Bernama
Annuar melihat barangan jualan di khemah jualan Keluarga Malaysia sempena Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bertekad mengawal dan mengekalkan inflasi dan harga barangan makanan di negara ini pada kadar rendah, kata Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, pasukan khas itu mengambil perhatian mengenai kenaikan inflasi Malaysia yang meningkat sehingga 3.4 peratus bagi tempoh Jun 2021 hingga Jun lepas.

"Pasukan khas mengakui ada trend kenaikan (inflasi) dan yang penting tugas kita (Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi) akan terus memantaunya supaya tidak berlaku peningkatan inflasi secara tidak terkawal.

"Maknanya, kerajaan tidak akan biar sahaja kenaikan (inflasi)...tugas kita sekarang ialah mengawal supaya (kadar inflasi) berada pada tahap tiga peratus dan kalau untuk barangan makanan sekitar lima hingga enam peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat program Lelongan Jualan Keluarga Malaysia sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini pada Ahad.

Annuar turut memberi jaminan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi akan melakukan usaha berterusan dengan melaksanakan beberapa tindakan drastik mengenai inflasi dan ia akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Katanya, beliau perlu membuat penelitian serta keterlibatan dengan setiap pihak berkaitan sebelum memutuskan setiap langkah kerajaan dalam menangani kenaikan inflasi negara.

Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia meningkat 3.4 peratus tahun ke tahun kepada 127.4 pada Jun 2022 berbanding 123.2 pada Jun 2021, melepasi purata inflasi di Malaysia bagi tempoh Januari 2011 hingga Jun 2022 sebanyak 1.9 peratus.

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin indeks makanan meningkat 6.1 peratus dan kekal sebagai penyumbang utama kenaikan inflasi pada bulan tersebut (Jun 2022).

Sementara itu, Annuar menegaskan bahawa kenaikan inflasi negara tiada kaitan dengan keberkesanan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi memandangkan data yang dikeluarkan berdasarkan tempoh setahun lalu, sebelum pasukan khas itu diwujudkan.

"Kena faham sesuatu perkara bahawa data inflasi yang dikeluarkan itu adalah dalam masa setahun dan baru diumumkan kaji selidik itu merujuk Jun 2021 hingga Jun lepas...ia tiada kena mengena soal keberkesanan pasukan khas jihad,” katanya.

Annuar berkata, pihaknya menerima data kenaikan inflasi itu sebagai petunjuk bahawa penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi adalah relevan ketika ini malah pada masa akan datang. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!