Terpaksa lupakan hasrat miliki zuriat

Adib dan Alia menunjukkan surat rujukan berhubung rawatan dan pembedahan di HKL hujung bulan ini. Adib menunjukkan bengkak di lengan Alia yang semakin membesar dan memerlukan rawatan serta pembedahan.
Adib dan Alia menunjukkan surat rujukan berhubung rawatan dan pembedahan di HKL hujung bulan ini. Adib menunjukkan bengkak di lengan Alia yang semakin membesar dan memerlukan rawatan serta pembedahan.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang lelaki terpaksa melupakan hasrat memiliki cahaya mata kerana lebih mengutamakan kesihatan isteri yang menghidap sakit kronik.

Adib Nazrul Abdul Aziz, 29, dari Bukit Selambau berkata, setiap pasangan yang berkahwin sudah pasti inginkan zuriat, namun melihatkan keadaan isteri, Nur Syarfa Alia Zulkifli, 26, yang menghidap penyakit Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) dan buah pinggang kronik, dia yakin ada hikmah yang lebih besar buat mereka.

Menurutnya, dari awal perkenalan telah mengetahui isteri yang lebih mesra disapa Alia, menghidap SLE sejak berumur 14 tahun dan bersedia berdepan sebarang kemungkinan.

"Akibat bergantung kepada ubat, buah pinggang Alia rosak, emosinya juga terganggu apabila dinasihatkan untuk tidak hamil kerana risiko ke atas nyawa dan juga kandungan," katanya.

Menurut Adib, kesihatan Alia lebih penting dan mengharapkan ada keajaiban yang berlaku agar isterinya dapat pulih seperti sedia kala.

"Saya mahukan isteri selamat dan sembuh memandangkan penyakit itu membuatkannya mudah letih, sakit kepala, sering keguguran rambut, kulit mengelupas, tidak boleh buat kerja berat dan hamil yang mungkin akan membahayakan nyawanya," katanya.

Menurutnya, cadangan pemindahan organ yang boleh dilakukan juga tidak kesampaian memandangkan buah pinggang serta jenis darahnya tidak sesuai untuk isteri kesayangan itu.

Jelas Adib, Alia sudah beberapa kali menjalani pembedahan dan terbaharu akan menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 30 Julai nanti.

"Sekiranya stabil, dia akan menjalani pembedahan membaiki saluran darah di lengan kiri yang membengkak sejak tahun 2019," jelasnya.

Kata Adib lagi, disebabkan jadual rawatan susulan dan dialisis yang padat dia hanya mampu mengambil upah melakukan kerja-kerja kampung kerana lebih fleksibel.

Menurut Alia, pengorbanan dan kasih sayang suami amat dihargai kerana sentiasa memberikan sokongan buat dirinya meneruskan kehidupan.

"Sekiranya diberi peluang kembali sihat, saya nak bekerja dan memiliki anak seperti orang lain, tetapi apakan daya, sehingga kini belum dapat menemui penderma buah pinggang yang sesuai.

"Bantuan zakat sebanyak RM300 sebulan sedikit sebanyak digunakan untuk menampung pembelian ubat-ubatan dan kos ulang-alik ke hospital.

Setakat ini, belum tahu lagi berapa kos pembedahan yang kemungkinan dijalankan di HKL," katanya.

Alia memohon orang ramai mendoakan kesihatannya agar segera sembuh dan menemui penderma buah pinggang segera.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi talian 014-6837972 (Adib) atau menyumbang melalui akaun Maybank Nur Syarfa Alia bernombor 152108200710.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!