Tuntut segera pasport elak dilupuskan

Hamzah bercakap ketika sidang akhbar majlis penutup Program Kita Demi Negara di Dewan Astaka, Batu Kurau pada Ahad. - Foto Bernama
Hamzah bercakap ketika sidang akhbar majlis penutup Program Kita Demi Negara di Dewan Astaka, Batu Kurau pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

BATU KURAU - Rakyat Malaysia yang telah memperbaharui pasport secara dalam talian perlu menuntut segera dokumen berkenaan bagi mengelak daripada dilupuskan dalam tempoh 90 hari, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, perkara itu juga selaras dengan peraturan yang telah termaktub di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen Malaysia, yakni apabila seseorang itu telah membuat pasport, menjadi tanggungjawab juga kepada individu berkenaan untuk menuntutnya.

"Bukan menjadi bidang kuasa kepada Jabatan Imigresen pula untuk hantar kepada mereka, walaupun diakui mungkin terdapat masalah tertentu yang menyebabkan pasport berkenaan gagal dituntut,” katanya kepada pemberita selepas menutup Program Kita Demi Negara di Dewan Astaka Batu Kurau pada Ahad.

Beberapa media sebelum ini melaporkan Jabatan Imigresen Malaysia memaklumkan terdapat 2,600 pasport yang telah diperbaharui secara dalam talian yang masih tidak dituntut setakat ini.

Mengulas mengenai program pada Ahad, Hamzah berkata, lebih 2,000 individu telah berdaftar sebagai Sahabat Kita Demi Negara yang berperanan sebagai mata dan telinga pihak kerajaan khususnya berkaitan isu melibatkan keselamatan negara. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!