Ismail Sabri tak akan tarik balik 'jihad'

Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada media di Parlimen hari ini. - Foto Sinar Harian/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada media di Parlimen hari ini. - Foto Sinar Harian/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tegas tidak akan menarik balik istilah jihad yang digunakan bagi menjelaskan kerjasama UMNO dan Pas dalam memperjuangkan penyatuan orang Melayu dan Islam.

Naib Presiden UMNO itu menegaskan, tindakan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang mendesaknya supaya menarik balik istilah itu yang menunjukan pemimpin DAP sentiasa bersangka buruk terhadap Islam.

“Sudah tentu tidak (tarik balik istilah jihad). Kita belajar sesuatu DAP sentiasa prejudis dan sering mempunyai persepsi negatif terhadap Islam.

ARTIKEL BERKAITAN: Jihad bukan perang tapi perjuangan: Ismail Sabri

“Apabila UMNO bekerjasama dengan Pas hendak mewujudkan kerajaan dan pemerintahan Taliban bermaksud Islam itu agama yang ganas,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, penjelasan mengenai jihad telah dibuat dan istilah itu boleh digunakan dalam pelbagai aspek seperti ekonomi dan pendidikan.

Katanya, tindakan menakutkan orang bukan Islam berlaku kerana kesilapan mereka mentafsir Islam, bukan melalui hubungan dan kerjasama UMNO dan Pas.

“Cuba Google betul-betul, kalau tak nak baca buku banyak. Apa maksud jihad? Sangat jelas, jihad itu perjuangan dalam perkara baik malah jihad terhadap diri sendiri pun boleh.

Artikel Berkaitan:

“Jihad bukan perang dan tindakan dua stesen televisyen mengaitkan kenyataan saya itu untuk menakutkan orang bukan Islam,” jelas beliau.

Laporan media semalam melaporkan Ismail Sabri sebagai berkata, perjuangan UMNO dan Pas merupakan jihad untuk menumbangkan kerajaan anti-Islam kepada kerajaan Melayu dan Islam.

Susulan daripada itu, Lip Eng menuntut Ismail Sabri supaya menarik balik kenyataan itu dalam tempoh 24 jam yang berakhir hari ini dan sekiranya gagal akan menggesa polis mengambil tindakan.