Terperangkap empat jam dalam runtuhan tanah

Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tertimbus dalam runtuhan tanah di sebuah sekolah di Bandar Penawar, Kota Tinggi pada Ahad.
Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tertimbus dalam runtuhan tanah di sebuah sekolah di Bandar Penawar, Kota Tinggi pada Ahad.
A
A
A

KOTA TINGGI - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki terperangkap kira-kira empat jam dalam runtuhan tanah di sebuah sekolah di Bandar Penawar di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 2.20 petang.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai kanan dan anggota polis dari Balai Polis Bandar Penawar digerakkan untuk mengawal situasi di tempat kejadian.

"Operasi menyelamat dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar dan BBP Sebana Cove, kakitangan Klinik Kesihatan Bayu Damai dan panel kontraktor Indah Water Konsortium iaitu syarikat Prospek Qaraeez," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, siasatan awal mendapati empat pekerja syarikat Prospek Qaraeez termasuk mangsa yang berusia 44 tahun menjalankan kerja baik pulih loji kumbahan di sekolah berkenaan.

"Semasa melakukan kerja-kerja itu tanah di tepi tangki loji kumbahan runtuh menyebabkan mangsa terperangkap dan tertimbus hingga ke paras pinggang.

"Tiga lagi pekerja sempat menyelamatkan diri sebelum mangsa berjaya diselamatkan dan kini dalam keadaan stabil," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari BBP Penawar, Penolong Kanan Penguasa Bomba Masri Ibrahim berkata, 16 anggota dari dua BBP berkenaan dibantu dua jentera Fire Rescue Tender serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dikejarkan ke tempat kejadian.

"Mangsa terperangkap dalam runtuhan tanah ketika kerja-kerja pembaikan tangki septik.

"Mangsa dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada pegawai perubatan untuk tindakan selanjutnya.

"Operasi tamat pada jam 6.50 petang," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!