Hampir 3,000 pemain muda berentap di AJBC
HAMPIR 3,000 pemain muda berusia bawah 15 tahun bakal berentap pada Kejohanan Badminton Junior Allianz (AJBC) melibatkan tujuh pusingan dimulai dengan aksi kelayakan pertama di Lembah Klang mulai Jumaat lalu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Allianz Malaysia Bhd, Sean Wang, kejohanan berkenaan secara keseluruhannya dilihat sebagai antara yang terbesar melibatkan pemain muda di negara ini.
Malah, kejohanan yang boleh dianggap antara yang terbesar membabitkan pemain muda ini bakal dianjurkan menerusi tujuh pusingan dengan aksi kelayakan pertama akan bermula di Lembah Klang sebelum beralih ke negeri lain.
“Ini adalah pusingan kelayakan AJBC yang pertama dan saya sangat kagum melihat bakat muda bakal menyertai kejohanan itu.
“Matlamat utama kejohanan ini adalah untuk menyediakan bakal pemain-pemain badminton muda ini kepada pertandingan peringkat umur dengan mengasah bakat yang dimiliki dan seterusnya mendapat pengalaman berguna,” katanya sempena Majlis Pelancaran AJBC di Sport Arena Puchong pada Ahad.
Majlis pelancaran berkenaan turut diserikan lagi dengan kehadiran pemain perseorangan wanita negara, Siti Nurshuhaini Azman dan Fazriq Razif yang turut dilantik selaku duta AJBC.
Untuk rekod, AJBC bakal menampilkan empat acara melibatkan acara perseorangan lelaki, beregu lelaki, perseorangan perempuan dan beregu perempuan – kategori Bawah-13 (13 tahun dan kebawah) dan Bawah-15 (14 hingga 15 tahun).
Pemenang perlawanan akhir untuk semua acara akan memenangi RM1,000, diikuti RM500 (kedua) dan ketiga (RM200) selain kesemua tujuh pemenang pusingan kelayakan bakal menerima (RM500), RM300 (kedua) dan RM100 (ketiga).
Untuk rekod, AJBC sudah pun bermula 22 hingga 24 Julai lalu bagi aksi kelayakan 1 di Sports Arena Puchong sebelum diteruskan pada 5 hingga 7 Ogos di Dewan Badminton KBA, Alor Setar Kedah – kelayakan 2), Dewan Badminton Masterscaff Kemaman, Terengganu (11 hingga 13 Ogos – kelayakan 3), Arena Badminton Tan Sri Lee Loy Seng (30 September hingga 2 Oktober–kelayakan 4), Pulau Pinang (14 hingga 16 Oktober – kelayakan 5), NZ Sports Arena, Port Dickson, Negeri Sembilan (4 hingga 6 November – kelayakan 6), Havona Badminton Academy, Kluang, Johor (10 hingga 12 November –kelayakan 7), Kem AJBC Kuala Lumpur (24 November) dan perlawanan akhir di Kuala Lumpur mulai 25 hingga 27 November.
Sementara itu Sean berkata, setakat ini pihaknya menerima penyertaan yang cukup menggalakkan bagi aksi kelayakan di Lembah Klang.
Katanya, setakat ini pihaknya telah menerima hampir 400 penyertaan dari sekitar Puchong sahaja.
“Bagi setiap pusingan kelayakan, kita menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM10,000 bagi menarik minat pemain-pemain muda ini untuk menyertai AJBC.
“Untuk kejohanan kali ini, sebanyak dua kategori dipertandingkan melibatkan peserta bawah 13 tahun dan bawah 15 tahun,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!