Isyarat betul perlu diberikan kepada PM tentukan waktu sesuai PRU
TASEK GELUGOR - Isyarat yang betul perlu diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi mencari waktu yang sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, kata Pengarah Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan.
"Perdana Menteri sedang meneliti dan menunggu waktu yang sesuai jadi kita perlu beri isyarat yang betul.
"Saya akan pergi ke seluruh negara bersama rakan-rakan dan hasil dari lawatan kerja akan kami bentangkan dan bincangkan di peringkat jawatankuasa pengurusan dan biro politik parti. Kita akan habiskan (pembentangan laporan PRU) sebelum pertengahan Ogos,” katanya.
Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, jentera pilihan raya BN di Pulau Pinang telah mencapai 50 peratus tahap kesiapsiagaan setakat ini dan beliau mahu melihat keseragaman strategi di setiap bahagian.
"Kita belum berbincang soal jumlah kerusi yang akan ditandingi dan calon. Ini akan ditentukan oleh pimpinan parti.
"Kami perlu melakukan penambahbaikan terlebih dahulu, barulah kita boleh keluar menghadapi peperangan PRU sebagai satu pasukan dan keluarga besar BN,” katanya selepas Majlis Pelancaran Jentera Pusat Daerah Mengundi BN Pulau Pinang di sini pada Ahad.
Walaupun tidak mudah untuk mengalahkan parti DAP di Pulau Pinang, beliau berkata, ia tidak mustahil.
Katanya, ia terbukti di pilihan raya kecil Melaka, Sarawak dan Johor baru-baru ini, kerusi-kerusi tradisi yang dikuasai DAP berjaya dirampas oleh BN.
"BN telah diberikan kepercayaan semula oleh rakyat di kawasan-kawasan tersebut. Ia bukannya mudah untuk mengalahkan DAP tetapi ia tidak mustahil,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!