Nafuzi gembira TFC mara separuh akhir

Faisal Halim (tengah) muncul wira TFC selepas menjaringkan gol keempat semasa menentang Kuching City FC pada aksi suku akhir Piala FA di Gong Badak pada Sabtu.
Faisal Halim (tengah) muncul wira TFC selepas menjaringkan gol keempat semasa menentang Kuching City FC pada aksi suku akhir Piala FA di Gong Badak pada Sabtu.
A
A
A

PENGENDALI Terengganu FC (TFC) melahirkan rasa syukur dan gembira apabila skuad Penyu melangkah ke separuh akhir Piala FA selepas membenam Kuching City FC 4-1 di hadapan lebih 20,000 penyokong di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Sabtu.

Menurut Nafuzi Zain, dengan kemenangan tersebut, TFC kini hanya selangkah untuk ke final seterusnya melengkapkan misi menjulang sekurangnya-kurangnya satu piala musim ini.

"Alhamdulillah..walaupun bermain dalam keadaan yang sukar dan penuh tekanan, TFC berjaya melangkah ke final selepas kali terakhir pada 2018.

"Saya amat berterima kasih kepada para pemain yang telah memberi yang terbaik dan membawa skuad Penyu ke separuh akhir Piala FA kali ini," katanya selepas perlawanan suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pada aksi separuh akhir nanti, TFC bakal membuat perhitungan dengan Selangor FC yang turut merakamkan kemenangan 2-0 ke atas Sabah FC di Stadium Likas.

Sementara itu, penyerang import skuad Penyu, Kipre Tcehtche yang muncul wira selepas meledak dua gol untuk pasukan itu berkata, beliau tidak sabar untuk beraksi di pentas separuh akhir selepas sekian lama.

Kata Tcehtche, beliau sendiri mempunyai sasaran peribadi untuk membantu TFC mendapatkan sekurang-kurangnya satu piala pada saingan liga musim ini.

"Saya fikir ia adalah sasaran semua orang untuk melangkah ke final dan memenangi piala (FA). Ia juga menjadi sasaran saya kerana saya terlepas aksi final pada 2018... jadi saya mahu kembali ke final pada tahun ini dan berharap kami berpeluang (memenanginya)," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!