Iktibar kes Zalina, sentiasalah hubungi orang tersayang

No Image Caption
A
A
A

SEDIH Merak Jalanan kenangkan nasib bekas personaliti TV3, Zalina Azman yang dikatakan hilang sejak 24 November 2021, namun hanya heboh lebih kurang seminggu lalu.

Semakin menimbulkan keraguan apabila kediamannya di Shah Alam ditinggalkan dalam keadaan tidak terurus, dengan semak samun memenuhi luar rumah selain kereta masih di pekarangan.

Persoalannya, di mana Zalina sekarang dan ke manalah dia menghilang?

Macam-macam cara Merak Jalanan tengok rakyat Malaysia cuba sedaya upaya membantu.

Ada yang kata nampak wanita iras Zalina masuk ke dalam hotel, ada yang nampak di restoran namun yang pasti polis telah mengesahkan individu dimaksudkan seorang gelandangan.

Di sisi lain, Merak Jalanan melihat insiden ini sebagai pembuka mata untuk kita mula ambil tahu orang yang rapat di sekeliling, sama ada ahli keluarga atau sahabat handai.

Seringkali kita berat mulut untuk bertanya khabar - jangan kata nak menelefon, setakat menghantar mesej di aplikasi WhatsApp pun ada kalanya terasa malas.

Kemudian apabila diberitahu individu berkenaan sudah meninggal dunia, barulah kita dihimpit rasa menyesal tidak menghubunginya sebelum ini hanya disebabkan ego untuk bertanya, 'awak ok ke'?

Untuk insan lebih istimewa dalam hidup, seperti ibu, ayah dan adik beradik yang tinggal berjauhan, sangat penting kita berhubungan setiap hari.

Jika sehari mereka tidak kelihatan aktif di aplikasi WhatsApp contohnya, cepat-cepatlah kita telefon untuk mengetahui jika ada yang tidak kena.

Akhir sekali, kepada anak lelaki Zalina, Mikhael Norman dan seluruh ahli keluarganya, Merak Jalanan doakan urusan anda semua dipermudahkan.

Kepada Zalina, semua orang merinduimu. Pulanglah!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!