Gangguan seksual: Wajib ajar anak yell, run and tell
ALHAMDULILLAH, ramai menghela nafas lega apabila Rang Undang-undang Anti-Gangguan Seksual 2021 akhirnya diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat Rabu minggu lepas selepas ditangguhkan beberapa kali.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Mohd Harun dalam ucapan penggulungannya berkata, kejayaan ini penting sebagai langkah pertama Malaysia untuk memberikan perlindungan kepada mangsa gangguan seksual.
Termaktubnya RUU ini bermakna, sudah tiba masa, normalisasi gangguan seksual harus ditamatkan segera.
Untuk menghentikan gangguan yang tidak senonoh ini, kaum wanita atau mangsa juga perlu memainkan peranan dengan bertindak tegas berkata tidak, atau juga beri amaran untuk mengambil tindakan dengan mengadu kepada pihak atasan atau berkuasa.
Jangan lagi memandang enteng dengan komen-komen berbaur seksual walaupun datang daripada sahabat baik dan rakan di tempat kerja sendiri seperti 'Cantiknya kamu, boleh cium sikit?' atau membenarkan bahagian sensitif tubuh disentuh ketika bergurau senda.
Namun, di sudut lain, jika orang dewasa boleh bertindak tegas, bagaimana pula dengan anak-anak kecil yang tidak mengerti apa-apa?
Di sini pentingnya ibu bapa dan pihak sekolah memperkenalkan pendidikan seksual dari peringkat awal, bermula dengan mengenal fungsi tubuh badan sendiri kemudian menerangkan bahagian yang tidak seharusnya disentuh sesiapa pun, termasuk orang yang anak-anak kenal rapat.
Formula paling mudah untuk anak-anak ingat ialah YELL, RUN AND TELL - menjerit jika disentuh, cepat-cepat larikan diri dan beritahu kepada ibu bapa atau guru dengan segera.
Lebih bagus jika mereka dihantar ke kelas seni mempertahankan diri dari awal usia agar tahu apa yang perlu dilakukan jika diri diganggu.
Gangguan seksual nampak seperti tidak berbahaya, namun ia boleh membawa kepada perlakuan lebih ekstrem jika masyarakat tidak mengambil berat.
Lebih menakutkan jika pelaku adalah gunting dalam lipatan, yang kita rasa selamat dan rapat, tetapi rupanya dialah musibat!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!