Musim melompat parti mungkin kembali?

ADUN

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

Episod lompat melompat dalam kalangan pemimpin politik dijangka kembali meriah, susulan tindakan dan percaturan politik beberapa pemimpin di negara ini menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pada Sabtu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas daripada Bersatu, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).

Tindakannya itu didakwa kerana tidak dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat sekiranya terus kekal bersama Bersatu, sebaliknya Amanah mampu membantunya mencapai matlamat berkenaan.

Katanya, dua lagi bekas ADUN daripada Bersatu dijangka mengikut jejak langkahnya dalam waktu terdekat ini.

Pada masa sama, Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, Datuk Seri Dr Santhara Kumar juga dikhabarkan akan turut melompat ke parti lain, namun dinafikan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Wan Saiful sebaliknya berkata, Ahli Parlimen Segamat yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Budaya itu hanya berhajat melepaskan jawatan sebagai Ketua Sayap Bersekutu.

Presiden pengganti Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin pula memaklumkan tidak mengetahui berhubung 'percaturan' politik Santhara yang dilapor telah menghantar surat kepada kepimpinan Bersatu pada Jumaat.

Katanya, Santhara juga masih belum berhubung dengannya mahupun PBM bagi menyertai parti itu.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil menyifatkan tindakan itu sebenarnya sudah dijangka dan semakin dekat pilihan raya, semakin ramai yang akan keluar parti serta meletak jawatan termasuk yang dahulunya mengkhianati UMNO.

Dakwanya, pemimpin-pemimpin ini dahulunya melompat parti dan mencari kesempatan namun masa mereka telah hampir tamat menyebabkan mereka melompat lagi.

Jadi, elok benarlah Akta Anti Lompat Parti dibahaskan di Dewan Rakyat secepat mungkin dan digubal sebelum PRU15 kerana rakyat sudah muak serta jelik dengan pemimpin sebegini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!