Kerjaya guru pilihan generasi ketiga Orang Asli Kampung Air Rengas

Hasliana (kiri) bersama Jasli antara generasi ketiga Orang Asli Kampung Air Rengas yang berjaya membuktikan kejayaan dalam bidang pendidikan. Gambar kecil: Bidin
Hasliana (kiri) bersama Jasli antara generasi ketiga Orang Asli Kampung Air Rengas yang berjaya membuktikan kejayaan dalam bidang pendidikan. Gambar kecil: Bidin
A
A
A

KUALA PILAH - Masyarakat Orang Asli suku Temuan di Kampung Air Rengas di sini mampu berbangga dengan pencapaian dalam bidang pendidikan apabila enam generasi ketiga kampung berkenaan berjaya bergelar guru manakala dua lagi sedang menuntut di menara gading.

Datuk Lembaga Adat Kampung Air Rengas, Tok Memputih, Bidin Omar, 73 berkata, kejayaan itu sekali gus memberi gambaran bahawa Orang Asli di situ semakin mengutamakan pendidikan.

"Ia demi menjamin kelangsungan masyarakat dan melahirkan generasi berpengetahuan.

"Kami sebagai orang lama memang menggalakkan anak-anak muda sekarang fokus kepada pendidikan seterusnya menjadi contoh kepada generasi akan datang.

"Justeru, kami sangat menyokong apa juga program berunsurkan pendidikan ataupun motivasi di kampung ini kerana ia antara faktor penyumbang kepada kejayaan anak-anak," katanya selepas Program Motivasi dan Anugerah Cemerlang untuk Pelajar Anak Orang Asal di Balai Raya Kampung Air Rengas, Johol di sini pada Ahad.

Program anjuran Lajnah Tanah, Perumahan dan Orang Asal PAS Negeri Sembilan dengan kerjasama Pertubuhan Warisan Alam NS itu melibatkan seramai 23 pelajar cemerlang dari sekolah rendah hingga menengah di perkampungan berkenaan.

Hadir sama, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Sementara itu, Jasli Jamil, 28 berkata, dia merupakan salah seorang generasi ketiga di kampung itu yang memilih profesion perguruan sebagai kerjaya.

"Ketika ini saya mengajar subjek bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Kurshiah, Kuala Pilah dan sebelum ini di SK Segamat Kecil,Johor.

"Ramai dalam kalangan anak Orang Asli kini sudah berjaya dan antara faktornya sudah terdedah dengan pendidikan di sekolah selain sokongan daripada ibu bapa sendiri," katanya.

Menurutnya, kerjaya sebagai guru antara yang menjadi pilihan generasi ketiga kampungnya malah ia menjadi kebanyakan cita-cita dalam dikalangan kanak-kanak di situ selain badan beruniform.

Dalam pada itu, Hasliana Sharif, 18 yang kini menyambung pengajian dalam Diploma Pentadbiran Korporat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban 2 berkata, dia bercita-cita mahu menjadi Pegawai Tadbir Diplomatik.

"Saya lihat ramai rakan sekampung sudah berjaya maka saya tidak mahu ketinggalan dan yang paling utama dapat membalas jasa kedua orang tua kerana kami bukanlah orang senang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!