Allahyarham Mustapha Kamal pemurah, hargai media: Chamil

Tangkap layar catatan Chamil di laman Facebook.
Tangkap layar catatan Chamil di laman Facebook.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengasas syarikat hartanah MK Land, Allahyarham Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar disifatkan sebagai seorang yang pemurah selain sentiasa menyokong bidang kewartawanan di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya mendedahkan, Allahyarham pernah menawarkan potongan sehingga 30 peratus kepada MPI ketika membeli tiga unit bangunan ruang pejabat di Cyberjaya suatu ketika dahulu.

"Salam takziah MPI kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Mustapha Kamal, pengasas pemaju hartanah MK yang antara lain membangunkan Radius Business Park Cyberjaya di mana MPI beroperasi.

"Sewaktu MPI membeli tiga unit ruang pejabat di Cyberjaya, Allahyarham menawarkan diskaun sehingga 30 peratus dan meraikan ahli Lembaga Pemegang Amanah dalam satu majlis makan tengah hari di pejabat beliau di Damansara Perdana.

"Beliau memberitahu diskaun istimewa diberikan terhadap pembelian MPI bagi membolehkan MPI terus mengadakan latihan membangunkan modal insan kewartawanan. Kata beliau 'inilah caranya saya dapat membalas jasa para wartawan dan organisasi media yang selama ini menyokong perniagaan saya dari segi publisiti," katanya menerusi catatan di laman Facebook pada Isnin.

Mustapha Kamal dilaporkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 7.45 pagi dan akan dikebumikan di Tanah perkuburan Islan Bukit Kiara hari ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!