TNG e-Wallet kumpul RM750 juta melalui pendanaan ekuiti

No Image Caption
A
A
A

TOUCH ‘n Go Group (TnG) mengumumkan bahawa TNG Digital Sdn Bhd (TNG Digital), pemilik dan pengendali Touch ‘n Go eWallet telah mengumpul sebanyak RM750 juta daripada pusingan pendanaan ekuiti terbaharunya.

TNG dalam satu kenyataan hari ini berkata, pusingan pendanaan itu diterajui oleh pelaburan baharu dalam TNG Digital oleh Lazada Group dan pelaburan susulan oleh pemegang saham semasa dan syarikat induk TNG Digital, Touch ‘n Go Sdn Bhd.

"Pelaburan baharu oleh Lazada tersebut mengukuhkan kerjasama antara peneraju segmen utama, satu dalam e-dagang manakala satu lagi dalam perkhidmatan dan pembayaran kewangan digital," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TnG, Effendy Shahul Hamid berkata, kerjasama berkenaan akan menghasilkan cadangan nilai peringkat seterusnya kepada pengguna dan pangkalan pedagang di seluruh ekosistem Lazada dan Touch ‘n Go.

"Pusingan pendanaan itu juga adalah tepat pada masanya untuk fasa pertumbuhan seterusnya.

"Kami akan terus berkembang dalam semua bidang perkhidmatan kewangan digital dan memastikan pangkalan pengguna kami diberi perkhidmatan dengan cara yang inovatif dan inklusif,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Alan Chan berkata, Lazada komited sepenuhnya untuk menyediakan perjalanan pelanggan yang lancar serta menjadi pemangkin untuk merangsang pembinaan kapasiti dalam kalangan penjualnya terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dan PKS mikro.

"Kami melihat perkhidmatan pembayaran digital sebagai langkah penting untuk membawa pengalaman pelanggan terbaik di Lazada. Perkongsian Lazada yang sudah lama terjalin dengan Touch ‘n Go eWallet telah menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan kami, membolehkan pembeli membuat pembayaran dengan mudah dan cepat,” katanya.

Pusingan pendanaan terbaharu tersebut menjadikan jumlah yang diperoleh oleh TNG Digital sepanjang 18 bulan lalu kepada lebih RM1 bilion.

Selain Touch ‘n Go dan Lazada, pemegang saham lain TNG Digital adalah Ant Group, AIA Group dan dana teroka BowWave Capital yang berpangkalan di Amerika Syarikat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!