Pelaburan RM13 bilion di Iskandar Malaysia bukti keyakinan pelabur

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak RM13 bilion pelaburan komited dicatatkan Iskandar Malaysia setakat Jun tahun ini membuktikan pelabur asing semakin yakin untuk melabur di Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak lebih RM10 bilion bakal dijana oleh pelaburan asing di wilayah ini untuk pembangunan pusat data sekali gus memberi pertambahan peluang pekerjaan.

"Secara keseluruhannya, lebih 6,000 orang Keluarga Malaysia di wilayah ini telah mendapat manfaat secara langsung daripada semua inisiatif sosioekonomi yang telah dijalankan," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Pihak Berkuasa Wilayah Iskandar Malaysia (IRDA) kali ke-30 bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz pada Isnin.

Turut hadiri Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Menurutnya, IRDA turut merangka Strategi Pertanian Moden dalam mengukuhkan agenda Sekuriti Makanan.

"Pembangunan teknologi 5G yang merupakan komponen sokongan utama Pertanian Moden disegerakan di kawasan Iskandar Malaysia bagi menangani isu bekalan makanan dalam negara," katanya.

Beliau berkata, ia sejajar dengan agenda kerajaan yang memberikan penekanan kepada sekuriti makanan melalui peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

"Pertanian Moden Iskandar Malaysia ini bakal menjenamakan IRDA sebagai 'Agrifood Hub' Malaysia," katanya.

Ismail Sabri berkata, IRDA juga sedang merangka Draf Pelan Pembangunan Komprehensif Iskandar Malaysia 2022-2030 yang bakal menjadikan wilayah ini sebagai salah satu tunjang utama menjana ekonomi negara dengan berkonsepkan pembangunan mampan dan berdaya tahan terhadap ketidaktentuan, kejutan dan tekanan masa depan.

"Pembangunan di wilayah ini amat penting bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia secara inklusif dan menyeluruh," katanya.

Sejak penubuhannya, IRDA telah merekodkan sejumlah RM219 bilion yang mana sebanyak 60 peratus (hampir RM221 bilion) daripadanya adalah pelaburan domestik dan selebihnya RM148 bilion daripada pelaburan asing.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!