Beri maklumat palsu ganti MyKad, dua wanita dipenjara 24 bulan

Dua wanita warga asing dijatuhkan hukuman penjara selama 24 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.
Dua wanita warga asing dijatuhkan hukuman penjara selama 24 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Dua wanita warga asing dikenakan hukuman penjara selama 24 bulan di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin selepas mengaku bersalah memberikan maklumat palsu ketika membuat permohonan mengganti kad pengenalan yang hilang.

Murada Rabung, 32, yang juga pemegang kad IMM13 membuat pengakuan bersalah itu di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles manakala Nor Hasna Paisal, 19, turut membuat pengakuan sama di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun.

Murada disyaki memberikan maklumat palsu ketika membuat permohonan mengantikan kad pengenalan yang hilang atas nama Nazira binti Eranza di Bahagian Kad Pengenalan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kota Kinabalu pada 21 Julai lalu.

Sementara itu, Nor Hasna yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri disyaki telah memberi maklumat palsu ketika membuat permohonan mengganti kad pengenalan atas nama Erah binti Eranza di Bahagian Kad Pengenalan, JPN Kota Kinabalu, pada 22 Julai lalu.

Kedua-duanya didakwa di bawah perkara 25 (1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 dan boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah menetapkan hukuman bermula dari tarikh kedua-dua tertuduh ditangkap dan mereka akan dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Pendakwaan dikendalikan Pengawai Pendakwa, Mohd Naser Mohd Nadzeri manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!