Penjawat awam didakwa salah guna kad minyak untuk kereta sendiri
KUALA PILAH - Seorang penjawat awam yang bertugas sebagai pemandu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan pecah amanah iaitu menyalahgunakan kad pemandu (minyak) untuk keretanya sendiri.
Tertuduh, Saiful Nazim Abdul Rahim, 41, yang bertugas di Pejabat Pergigian Petaling dan Klinik Pergigian Pertang di Jelebu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Mengikut pertuduhan, sekitar 11 Ogos 2016 hingga 29 Disember 2018 sebagai seorang penjawat awam iaitu pemandu kenderaan bermotor gred R3 dan dalam kapasiti tersebut diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta iaitu kad pemandu (minyak) yang digunakan untuk mengisi petrol bagi kereta kegunaan sendiri.
Sedangkan kad pemandu hanya boleh digunakan untuk mengisi petrol bagi kereta milik Jabatan Kesihatan sahaja.
Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 2 tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat juga boleh dikenakan denda jika disabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Sara Afiqah Zulkipli memohon agar mahkamah tidak membenarkan jaminan diberikan.
Tertuduh dalam rayuannya memohon diberikan jaminan kerana perlu menanggung empat orang anak serta orang tuanya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin dengan RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Mei ini sebagai sebutan semula kes. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!