Sekolah di Sri Lanka dibuka semula
COLOMBO - Sri Lanka pada Isnin membuka semula sekolah awam milik kerajaan dan swasta, yang ditutup selama hampir sebulan akibat kekurangan bekalan bahan api, lapor Xinhua.
Bagaimanapun, sekolah hanya dibuka tiga hari seminggu iaitu pada Isnin, Selasa dan Khamis dan pelajar akan menjalani sesi pembelajaran secara dalam talian pada Rabu dan Jumaat.
Kementerian Pendidikan juga melanjutkan penggal pertama persekolahan sehingga 7 September ini.
Sekolah juga tidak akan menjalankan peperiksaan pada akhir penggal pertama, dan pengetua telah diarah untuk melaksanakan penilaian alternatif.
Presiden Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe telah mengarahkan pegawai bertanggungjawab untuk membekalkan bahan api kepada pengendali bas sekolah.
Terdapat hampir 40,000 kenderaan yang terlibat bagi mengangkut para pelajar ke sekolah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!