PSM gagal batal saman KL Karnival

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) gagal dalam permohonannya untuk membatalkan saman KL Karnival Sdn Bhd yang menuntut ganti rugi RM41.6 juta berhubung dakwaan melanggar kontrak sewaan tanah di Taman Sukan Extreme bagi Karnival Stadium Bukit Jalil.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache menolak permohonan PSM untuk membatalkan saman itu atas alasan saman yang difailkan KL Karnival mempunyai merit dan perlu dibicarakan.

PSM memfailkan permohonan itu pada 27 September 2018 mengikut Seksyen 35 Akta Perbadanan Stadium Malaysia 2010, yang memberi kekebalan daripada litigasi sekiranya tindakan/kegagalan PSM dilakukan dengan suci hati.

"Oleh itu mahkamah juga putuskan suci hati hanya boleh ditentukan melalui perbicaraan penuh." kata peguam Adnan Seman yang mewakili KL Karnival kepada pemberita selepas prosiding dalam kamar hakim di sini hari ini turut dihadiri peguam Priscilla Tan mewakili PSM.

Adnan berkata mahkamah menetapkan 4 April untuk pengurusan kes tersebut di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi.Pada 5 Julai 2018, KL Karnival Sdn Bhd selaku plaintif memfailkan saman itu melalui pengarah urusannya, Muhamad Rustam Roshandin dengan menamakan PSM sebagai defendan tunggal.

Di dalam pernyataan tuntutan, KL Karnival mendakwa syarikatnya telah diberi kontrak penyewaan oleh PSM iaitu tanah seluas 123,000 kaki persegi di Taman Sukan Extreme selama tiga tahun, berakhir 31 Dis 2020 bagi karnival berkenaan dan melaksanakan kerja-kerja tanah termasuk menambak tanah yang menelan belanja sebanyak RM3 juta.

Dakwanya, seramai 430 peniaga khemah dan 210 peniaga kontena telah mendaftar dengan syarikat itu dan membuat pembayaran bagi membolehkan plaintif membawa masuk kontena serta mempersiapkan tapak khemah selain plaintif turut melabur dengan jumlah besar bagi mempromosikan tapak karnival dan memperkenalkan jenama "KL Karnival" di surat khabar dan majalah serta media sosial.

Bagaimanapun, dakwa syarikat itu, pada Januari 2017, defendan memaklumkan bahawa sebahagian daripada tanah yang diberikan kepada plaintif akan diambil semula untuk melaksanakan kerja-kerja tempat letak kereta.

Artikel Berkaitan:

Plaintif juga mendakwa pihaknya telah bertemu dengan Menteri Belia Sukan sebelum ini bagi mencari penyelesaian berhubung perkara itu dan ditawarkan tempat letak kereta Stadium Jalan Duta sebagai ganti tetapi plaintif menolak tawaran berkenaan kerana tempat letak kereta tersebut terlalu kecil serta lokasinya yang tidak sesuai.

Plaintif mendakwa telah mengalami kerugian besar berjumlah RM41.6 juta yang merupakan kerugian perbelanjaan untuk kos yang dikeluarkan dan kerugian pendapatan sewaan serta menuntut ganti rugi RM41.6 juta, faedah, kos dan relif lain yang sesuai. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!