APM Kedah pantau lokasi 'hot spot' banjir, kepala air

APM Daerah Yan memantau keadaan banjir kilat yang berlaku di daerah tersebut pada Ahad. - Foto media sosial
APM Daerah Yan memantau keadaan banjir kilat yang berlaku di daerah tersebut pada Ahad. - Foto media sosial
A
A
A

JITRA - Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Kedah memantau semua kawasan yang berisiko berlaku banjir kilat termasuk kepala air susulan cuaca tidak menentu sejak akhir-akhir ini.

Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub berkata, APM di setiap daerah telah diarahkan untuk memantau kawasan yang dikenal pasti di kawasan masing-masing dari semasa ke semasa.

Menurutnya, agensi tersebut itu juga turut berpandukan kepada maklumat yang diperolehi daripada Jabatan Meteorologi Malaysia dan Jabatan Pengairan dan Saliran bagi memantau sebarang kemungkinan berlakunya banjir.

"Kawasan 'hot spot' kita pantau 24 jam seperti di Yan pada Ahad berlaku hujan lebat dan banjir kilat.

'Berlaku sedikit kenaikan air, namun tidak memerlukan pembukaan pusat permindahan sementara (PPS).

Keadaan banjir kilat di sebuah taman perumahan di Daerah Yan pada Ahad. - Foto media sosial
Keadaan banjir kilat di sebuah taman perumahan di Daerah Yan pada Ahad. - Foto media sosial

"Laporan telah dibuat kepada Jawatankuasa Bencana Negeri dan Pusat," katanya semasa ditemui pemberita semasa eksesais mencari dan menyelamat (SAR) APM Kedah Zon Utara di Taman Rekreasi Eko Rimba Bukit Wang dekat sini pada Isnin.

Jelas Awang Askandar, antara kawasan berisiko dikenal pasti boleh berlaku kejadian kepala air di zon selatan negeri Kedah pula adalah di Lata Paya Mengkuang di Sik, Bukit Hijau dan Lata Bayu (Baling), Sedim (Kulim) dan Tupah (Merbok).

Menurutnya, orang ramai yang mahu mengunjungi tempat rekreasi berkenaan dinasihatkan merujuk informasi terkini daripada sumber sahih terlebih dahulu.

"Nasihat dan peringatan kepada semua yang ingin ke pusat rekreasi agar mendapatkan dulu maklumat dan perkembangan semasa.

"Ada juga maklumat yang disediakan di kawasan berkenaan dan sentiasalah patuhi arahan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!