BN berazam bentang Akta Pendanaan Politik jika menang PRU15
SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) seolah-olah terkilan kerana Akta Pendanaan Politik masih belum dibentangkan walaupun sidang Dewan Rakyat kali ini hampir berakhir.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembentangan akta tersebut di Parlimen akan menjadi keutamaan BN jika menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Menurutnya, akta tersebut akan memastikan tiada pihak yang teraniaya dan menjadi kambing hitam lagi dalam isu pembiayan politik dan derma politik.
"Ketika pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak pernah dicadangkan undang-undang pembiayaan politik, namun apabila BN kalah ia tidak sempat dibentangkan.
"Akibatnya apabila era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) bukan sahaja rang undang-undang tersebut tak dibentangkan, maka pendakwaan terpilih berlaku dan berunsur politik.
"Menjadi mangsa ialah mereka yang dianggap musuh politik. Apabila saya enggan membubarkan UMNO, saya dan teman-teman pimpinan parti dijadikan kambing hitam dalam isu kes wang pembiayaan politik dan derma. Peliknya yang bersekutu dengan mereka tiada pula apa-apa pendakwaan hingga kini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, pembentangan akta tersebut akan menjadi azam UMNO dan BN sekiranya berjaya menguasai Parlimen pada PRU15.
"Bak kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, individu yang memberikan dana politik tidak berasa khuatir, manakala penerima tidak dizalimi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!