MOSTI permudah urusan usahawan pertanian pintar: Adham
KUALA LUMPUR - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersedia membantu memudahkan urusan usahawan pertanian dalam mengadaptasikan penggunaan teknologi dalam perusahaan ke arah pertanian pintar.
Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kos tinggi di peringkat awal yang terpaksa ditanggung untuk mendapatkan teknologi berkaitan, merupakan antara limitasi yang dihadapi usahawan pertanian meskipun negara mempunyai ketersediaan kepada teknologi tersebut.
Katanya, meskipun pengaplikasian teknologi ke arah pertanian pintar itu melibatkan kos tinggi di peringkat awal, namun pengurangan dilihat akan berlaku pada kos tersebut apabila perusahaan itu menjadi matang sekali gus lebih mampan daripada pertanian konvensional.
"Jadi dengan adanya modal awal teroka ini, mereka (usahawan pertanian pintar) menyuarakan beberapa rungutan bahawa kemudahan untuk mendapatkan bantuan awal itu, perlu kerajaan sediakan.
"Mereka bersedia untuk masuk ke dalam pertanian pintar ini, sekiranya beberapa insentif diberikan kepada teknologi yang mungkin makan kos yang sedikit tinggi di peringkat awal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan sesi libat urus pertanian pintar bersama pemegang taruh yang terdiri daripada wakil kementerian, jabatan dan agensi serta pihak industri di Ibu Pejabat Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) di sini, pada Isnin.
Dr Adham memaklumkan, kerajaan melalui Agrobank turut menyediakan pinjaman sebanyak RM800 juta yang boleh diusahakan bagi memudahkan para usahawan pertanian memperolehi pinjaman, dari segi pembangunan teknologi ke arah pertanian pintar.
Selain itu, beliau memaklumkan usahawan yang tidak berjaya mendapat pembiayaan bank masih boleh dibantu menerusi agensi-agensi seperti Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP) untuk ekuiti pelaburan atau Malaysia Debt Venture (MDV), bagi pembiayaan kepada syarikat teknologi yang sukar mendapat pembiayaan komersial.
Mengulas mengenai sesi libat urus bersama pemegang taruh, Dr Adham berkata, MOSTI bersama beberapa agensi akan membangunkan sebuah aplikasi iaitu ekosistem peruncitan, bagi membawa nilai perubahan, agar produk boleh dijual tepat pada masanya sekali gus mengelakkan pembaziran.
Selain itu, sesi libat urus itu turut membincangkan mengenai adaptasi penggunaan teknologi yang diperkenalkan MOSTI, yang berpotensi untuk menarik minat lebih ramai anak muda sekali gus membudayakannya sebagai salah satu elemen sekuriti makanan, berbanding kaedah pertanian konvensional.
"Sesi libat urus ini juga membincangkan usaha dalam membantu memastikan jumlah import makanan kita yang banyak setiap tahun dapat dikurangkan, dengan penggunaan teknologi sepenuhnya di semua lapangan,” katanya.
Dr Adham berkata, penyelesaian ini juga menyasarkan kepada skala kecil, kos penggunaan teknologi rendah dan sederhana, serta pengaplikasiannya oleh penduduk bandar yang berhadapan isu kekangan ruang dan tanah bagi tujuan pertanian. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!