Amaran buat peniaga manipulasi untung

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Kesediaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menambah baik perundangan dalam Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 memperlihatkan sikap tegas kerajaan menangani isu kepenggunaan di negara ini.

Ia sekali gus sebagai amaran kepada peniaga tidak bertanggungjawab termasuk mereka yang cuba memanipulasi untung semasa menjual atau menawarkan sesuatu barangan.

Kementerian tersebut juga melalui Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid pada Ahad memberitahu, sekiranya perlu, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan bagi mendapatkan pandangan berhubung penambahbaikan undang-undang sedia ada.

Ia tidak lain bertujuan memastikan memastikan perundangan lebih efektif bagi tujuan kemudahan perdagangan dalam negeri.

Dari sudut kesediaan kerajaan itu, ia dilihat satu langkah tepat dalam keadaan rakyat sedang bergelut dengan ketidaktentuan kos sara hidup ketika ini.

Dalam situasi ini, sudah tentu pihak terlibat perlu berperanan lebih proaktif mengawal dan menguatkuasakan undang-undang bagi memastikan peniaga bersikap lebih bertanggungjawab dalam urusan jual beli serta tidak melanggar peraturan sedia ada, selain tidak mengaut untung melampau sehingga melebihi harga siling ditetapkan oleh kerajaan.

Bukan sekali kes mengaut keuntungan dalam kalangan peniaga berlaku, malah ia sudah menjadi kebiasaan sekali gus menyebabkan pengguna terpaksa membeli walaupun dengan harga yang mahal.

Di pihak kerajaan, pemantauan sahaja tidak cukup untuk memastikan peniaga tidak memanipulasi untung, sebaliknya hukuman serta denda yang lebih tinggi perlu dikenakan untuk memastikan mereka tidak mengulangi kesalahan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!