Niat jaga ibu penuhi impian jadi pelukis komik
BERA - Tindakan nekad bekas juruteknik balik kampung menjaga ibunya menjadi keputusan tepat sekali gus impiannya bergelar pelukis komik sejak kecil menjadi kenyataan.
Dalam tempoh singkat, Aidi Azama Mohd Mahayudin, 36, kini berjaya menghasilkan karya Alang Gempita yang diterbitkan sendiri dengan identiti Melayu Nusantara menjadi pilihan genre utama.
Aidi berkata, ayahnya telah meninggal dunia pada 2018 dan kepulangannya ke Felda Rentam di sini pada tahun 2021 demi menjaga ibunya, Seri Dinah Tan, 71, yang perlu mendapat penjagaan rapi selepas pembedahan pintasan jantung.
"Ketika itu, pandemik Covid-19 melanda negara jadi saya ambil keputusan untuk balik bersama isteri dan dua anak.
"Bila pulang ke Felda Rentam saya fikir apa boleh dibuat dan dari situ saya rasa untuk kembali melukis komik.
"Kini saya berjaya menghasilkan karya Alang Gempita yang kini sudah memasuki jilid tiga yang dijual menerusi platform Shopee dan Facebook milik saya, Aidi Azama," katanya kepada Sinar Harian.
Ujarnya, minat melukis sudah timbul sejak kecil, namun ia hanya dapat dilakukan secara serius pada tahun lalu.
"Pada mulanya, agak sukar juga untuk mendapatkan sentuhan namun kini sudah semakin selesa dan saya bersyukur kerana impian ini tercapai selain dapat menjaga ibu," katanya bersyukur kerana mendapat sokongan padu isterinya, Syuhaidah Azahar,33 dan keluarganya.
Anak ke-4 dari lima beradik itu turut memberitahu, sokongan yang diberikan oleh komuniti pelukis komik di laman sosial Facebook juga menguatkan lagi semangatnya untuk terus berkarya.
"Saya memilih untuk mengetengahkan genre Nusantara kerana tidak banyak genre sebegini di Malaysia dan untuk karya Alang Gempita, dunia persilatan menjadi latar belakang komik ini.
"Tapi mungkin masa akan datang saya akan mengekalkan konsep sama tapi latar belakang moden," ujar peminat karya, Datuk Lat tersebut.
Dalam pada itu, Aidi juga menyalurkan bakat dan khidmatnya dalam karya mural terutamanya di sekolah-sekolah sekitar Bera selain melukis karikatur sebagai aktiviti sampingan.
"Selain jual di laman sosial, saya juga menyertai pameran dan pesta berkaitan di seluruh negara dan syukur kerana mendapat sambutan baik setakat ini daripada penggemar komik," tambahnya.
Ditanya perancangan selepas ini, beliau memberitahu untuk menghasilkan karya Alang Gempita sehingga jilid lima sebelum mengeluarkan karya baharu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!