TI-M sanggah Azam Baki

Azam - Foto Bernama
Azam - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Transparency International Malaysia (TI-M) menyifatkan kenyataan orang nombor satu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung Indeks Persepsi Rasuah (CPI) sebagai kurang kefahaman.

Presidennya, Dr Muhammad Mohan berkata, kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bahawa CPI sekadar satu ‘persepsi’ adalah satu kesilapan terutama bagaimana cara indeks tersebut diperoleh dan keberkesanannya dalam mengukur tahap gejala rasuah di sesebuah negara.

Menurutnya, sejak indeks tersebut dikeluarkan pertama kali pada tahun 1995, pihak Transparency International (TI) tidak pernah sama sekali mengeluarkan sebarang kenyataan bahawa CPI adalah ukuran sebenar rasuah.

“Saya ulangi, tidak pernah. CPI bertindak sebagai indeks yang berfungsi lebih sebagai indikator yang boleh diukur kerana indikator tersebut dapat membantu memberi isyarat terhadap perkara yang berlaku dalam negara ini, yang mana setiap satunya berkait rapat dengan masalah rasuah yang perlu diberi perhatian sewajarnya oleh pihak berkuasa seperti SPRM.

“Di sebalik suara negatif yang bercakap mengenai CPI, banyak pihak yang menyambut baik hasil laporan CPI dengan menggesa agar ia dijadikan panduan untuk memperbaiki kedudukan Malaysia, sekali gus mencapai matlamat Pelan Anti Rasuah Kebangsaan (NACP),” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

CPI 2021 telah diumumkan pada awal tahun ini yang menyaksikan Malaysia berada di tangga ke-62 dengan skor 48.

Ia merupakan satu lagi catatan penurunan CPI Malaysia untuk dua tahun berturut-turut, sekali gus mengundang sebuah badan pemantau rasuah tampil mengkritik laporan CPI Malaysia tersebut.

Terbaharu, media melaporkan Azam menyatakan CPI yang dikeluarkan oleh TI adalah sekadar satu persepsi dan bukan ukuran sebenar amalan rasuah di sesebuah negara.

Muhammad Mohan berkata, ada kritikan beberapa pihak yang mendakwa pengumuman CPI oleh TI-M itu sebagai tindakan tidak adil yang memburukkan imej negara.

Namun tegasnya, perkara seumpama itu bukanlah hasrat mana-mana agensi yang menghasilkan indeks tersebut yang menjadi rujukan di peringkat antarabangsa.

Jelasnya, ada pihak yang mengkritik CPI dengan melemparkan pelbagai persoalan kepada TI-M dan mengesyorkan agar Malaysia mengetepikan tinjauan CPI seperti yang telah dilakukan oleh sesetengah negara.

“Polemik mengenai CPI yang melibatkan Malaysia wajar dilihat dari sudut positif dan bukannya mengajak kita keluar daripadanya kerana kita tidak dapat melakukannya dengan baik.

“Ini bukanlah kali pertama hasil CPI dikecam oleh sesetengah pihak di negara ini. Melihat kepada latar belakang pengkritik tersebut, TI-M agak ragu-ragu mengapa mereka memilih untuk tidak menerima hakikat bahawa kedudukan Malaysia dalam CPI telah merosot.

“Tetapi orang yang sama ini juga akan cepat bersorak apabila kedudukan Malaysia dikatakan baik, sepertimana yang berlaku untuk laporan 2019 apabila Malaysia buat pertama kalinya berjaya meningkatkan skor daripada 47 kepada 53 dan meningkatkan kedudukan dari 61 kepada 51 daripada 180 buah negara di dunia.

“Pada ketika itu, kesemua pihak tersebut menerima CPI dengan hati yang terbuka,” kata beliau.

Tambahnya, kematangan sesebuah negara diukur dengan kebolehan menerima dapatan yang pahit, kemudiannya berfikir dengan mendalam dan bersama-sama memikirkan bagaimana untuk memperbaiki kedudukan negara.

Justeru itu katanya, persoalan penting yang perlu ditanya adalah bagaimana pada 2019 Malaysia boleh berjaya mencatat skor 53 daripada 47 pada tahun sebelumnya, namun kemudiannya jatuh selama dua tahun berturut-turut.

“Sama ada suka atau tidak, kejayaan Malaysia memperbaiki kedudukan dalam CPI pada 2019 merupakan satu pencapaian yang sangat membanggakan.

“Ini menunjukkan bahawa kita mempunyai pengetahuan dan pakar yang dipertanggungjawabkan untuk menentukan perancangan dan dasar yang berkaitan dengan integriti, governans dan antirasuah.

“Mereka faham apa yang perlu dilakukan dan berjaya memulihkan imej negara di mata dunia. Ini adalah bukti empirikal yang tidak dapat disangkal oleh mana-mana pihak bahawa Malaysia boleh menjadi antara negara terbaik dalam Indeks Persepsi Rasuah ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!