Wei Chong-Kai Wun tak boleh alpa
JUARA Terbuka Taiwan 2022, Man Wei Chong-Tee Kai Wun harus kekal konsisten selain sentiasa memperbaiki persembahan masing-masing dalam usaha memenangi lebih banyak kejohanan.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky berkata, beregu muda negara itu perlu bersedia bagi mengharungi cabaran lebih getir pada masa akan datang.
“Secara keseluruhannya, saya melihat Wei Chong-Kai Wun sebagai gandingan beregu yang agak baik berdasarkan kepada prestasi yang ditunjukkan sepanjang Terbuka Taiwan baru-baru ini.
“Bagaimanapun, masih ada beberapa kelemahan yang perlu Wei Chong-Kai Wun perbaiki dari semasa ke semasa untuk mereka terus mencatatkan kejayaan pada kejohanan yang disertai,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Dalam dua pusingan awal, mereka dilihat tidak berdepan masalah menewaskan beregu bukan pilihan Taiwan - Chang Ko Chi-Po Li Wei 21-19, 11-21, 21-12 sebelum menang 22-21, 21-18 ke atas Cheng Kai Wen-Liu Kuan Heng.
Wei Chong-Kai Wun terus cemerlang apabila menewaskan dua lagi wakil Taiwan - Liao Min Chun-Chun Hsien Yang 21-14, 21-19 dalam aksi suku akhir sebelum menang 21-13, 22-20 ke atas Su Ching Heng-Lee Chih Chen di separuh akhir.
Pada aksi final, Wei Chong-Kai Wun menumbangkan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, Lee Yang-Wang Chi Ling 21-18, 11-21, 21-18.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!