Wanita lepaskan tembakan di dalam lapangan terbang AS
WASHINGTON - Penerbangan dihentikan di Lapangan Terbang Love Field di Dallas, Texas, Amerika Syarikat (AS) pada Isnin selepas seorang wanita melepaskan beberapa das tembakan ke udara di dalam terminal, kata polis.
Wanita berusia 37 tahun itu cedera selepas ditembak oleh seorang pegawai polis ketika melepaskan tembakan ke siling dengan pistol, kata Ketua Polis Dallas, Eddie Garcia.
Garcia memberitahu pemberita bahawa wanita tersebut masuk ke tandas, muncul memakai pakaian berbeza dan melepaskan tembakan.
Seorang pegawai polis di kawasan itu menembak wanita itu di bahagian kaki, dia kemudian ditangkap dan dibawa ke hospital, kata ketua polis itu.
Tiada orang lain yang cedera.
Menurut laporan, wanita itu sebelum ini pernah ditahan kerana merompak sebuah bank di Wylie, Texas pada tahun 2019.
Bagaimanapun, motif dia melepaskan tembakan di lapangan terbang itu masih belum diketahui. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!