Hati saya lega, lapang - Ibu
PASIR GUDANG - Ibu kepada Allahyarham Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain lega dan tenang selepas jasad anaknya itu dapat disemadikan seperti orang lain sekali gus menamatkan persoalan dan penantian keluarganya.
Azmawati Ab Kadir, 55, menyatakan rasa syukur tanpa henti kerana jasad Allahyarham dapat dikuburkan termasuk semua proses berjalan lancar dan mereka juga sekeluarga reda dengan apa yang berlaku.
"Alhamdulillah, reda....saya rasa lega, kepala rasa ringan, saya tahu dia ke mana, Sang Pencipta telah ambil.
"Sudah selesai Ya Allah, terima kasih Ya Allah, 24 tahun Allah pinjamkan dia untuk saya.
"Ya Allah syukur alhamdulillah, dia anak yang terbaik untuk saya. Semua sudah selesai perjalanan ini," katanya ditemui pemberita selepas pengebumian anaknya itu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Putih di sini pada jam 1 pagi Selasa.
Kisah kehilangan Muhammad Iman Aqmar, 25, pernah tular dalam media sosial pada tahun lalu selepas adik Allahyarham, Nurul Izz Anisah, 21, meminta bantuan orang ramai berkenaan kehilangan abangnya itu.
Lelaki itu bergerak dari Pasir Gudang pada jam 1.30 pagi, 29 Oktober tahun lalu ke Terengganu dengan memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina.
Bagaimanapun, dia selepas itu gagal dihubungi keluarga, majikan dan Nurfaizah Mahadi, 25.
Azmawati berkata, dalam tempoh hampir 10 bulan kehilangannya, setiap masa dia teringat kepada Allahyarham.
Dia sering tertanya-tanya dan terfikir di manakah anaknya pergi ketika itu kerana tiada khabar berita diterima dalam tempoh tersebut.
"Tempoh yang lama, tetapi sekarang hati saya lapang sangat, sebelum ini beban kerana terfikir-fikir mana anak aku?.
"Kalau hujan macam sekarang ini, saya akan fikir abang di mana ye?. Sekarang ini saya sudah tahu dia ada di sini, Sang Pencipta dia sudah ambil, saya reda," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!