KKM agih lagi ubat stok penimbal
KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengagihkan tiga lagi jenis ubat-ubatan dalam stok penimbal kepada pihak perubatan swasta selepas mengagihkan Paracetamol sebelum ini bagi menampung kekurangan bekalan ubat-ubatan di pasaran.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, tiga jenis ubat-ubatan itu ialah Promethazine untuk rawatan selesema dan Sabutamol serta Theophylline untuk merawat asma.
"Tiga jenis ubat ini kami sedang menerima pesanan dari klinik dan hospital swasta, dan kami akan lepaskan dengan kos harga yang kami beli bagi memastikan harganya berpatutan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di persidangan Dewan Rakyat di sini pada Selasa.
Beliau menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majlis (Warisan-Kota Belud) yang meminta Kementerian Kesihatan menyatakan perancangan kerajaan bagi mewujudkan Dasar Sekuriti Ubat-ubatan Negara dan sejauh manakah langkah kerajaan mewujudkan stok penimbal ubat-ubatan dapat mengawal ketidakstabilan bekalan.
Khairy berkata, setakat 22 Julai Kementerian Kesihatan melepaskan stok penimbal Paracetamol kepada 220 hospital dan klinik swasta.
Katanya, penjualan bagi Paracetamol meningkat sehingga 238 peratus bagi suku pertama tahun ini berbanding data jualan suku pertama tahun sebelumnya susulan peningkatan permintaan mendadak ubat-ubatan untuk rawatan penyakit seperti demam, selesema dan batuk.
"Permintaan yang tinggi ini menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan bagi beberapa jenis ubat-ubatan walaupun pengeluaran ubat-ubatan itu ditingkatkan oleh pengilang tempatan selain meningkatkan jumlah ubat-ubatan yang diimport dari luar negara,” katanya.
Khairy berkata, keadaan itu dijangka pulih menjelang suku keempat tahun ini dan menyatakan antara punca kekurangan bekalan ubat di pasaran adalah kerana gangguan bekalan berikutan polisi sekatan pergerakan penuh China memandangkan bahan aktif farmaseutikal (API) banyak dihasilkan di negara itu.
Selain itu, krisis di Rusia dan Ukraine juga menjadi penyumbang masalah itu.
Bagi langkah jangka panjang, Khairy berkata, kementerian antara lain sedang memperhalusi kerangka bagi mewujudkan kerjasama strategik bersama negara pengeluar API utama dunia bagi menjamin bekalan API untuk kegunaan negara termasuk semasa krisis.
"Peranan advokasi Kementerian Kesihatan berkaitan paten produk farmaseutikal akan diperkukuhkan melalui kerjasama dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk mengelakkan patent evergreening.
"Ini akan memastikan akses lebih awal kepada ubat-ubatan generik yang mampu milik dan melindungi hak pemegang paten,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!