JKPK Hal Ehwal Antarabangsa mula prosiding tuntutan Sulu 11 Ogos

Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Hal Ehwal Antarabangsa akan memulakan prosiding berhubung isu tuntutan waris kesultanan Sulu bermula 11 Ogos.

Pengerusi JKPK Hal Ehwal Antarabangsa, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia selaras dengan Peraturan Mesyuarat 83 (4), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Prosiding berhubung isu ini wajar dimulakan selepas beberapa usul menurut Peraturan Mesyuarat 18 (1) yang dibawa oleh ahli-ahli Dewan Rakyat tidak diterima untuk dibahaskan dalam Majlis Mesyuarat.

“JKPK Hal Ehwal Antarabangsa telah berbincang dan berpandangan bahawa tuntutan waris kesultanan Sulu adalah amat serius dan sekiranya tidak ditangani dengan baik berpotensi menjejaskan kepentingan negara,” katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Khamis.

Salahuddin yang merupakan Ahli Parlimen Pulai menambah, jawatankuasa ini mengambil keputusan itu selaras dengan peranannya seperti yang ditetapkan oleh Dewan Rakyat.

“Untuk menjalankan peranan semak dan imbang terhadap tindakan kerajaan serta memartabatkan institusi demokrasi berparlimen,” ujarnya.

Beliau berkata, prosiding yang dijalankan ini akan memanggil Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!