Bayi lelaki lapan bulan maut disyaki didera
LUMUT - Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan meninggal dunia dipercayai didera dalam satu kejadian di Sungai Siput pada Isnin.
Polis menerima laporan kejadian itu sekitar jam 7.10 pagi, memaklumkan terdapat seorang bayi mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Sungai Siput.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, bayi berkenaan dibawa ke hospital oleh ibunya selepas mendapati berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati, terdapat banyak kesan kecederaan pada anggota badan bayi berkenaan.
"Polis kemudiannya mengarahkan satu bedah siasat dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.
"Hasil bedah siasat mendapati kecederaan dialami bayi itu adalah disebabkan objek tumpul," katanya ketika ditemui pemberita sempena lawatan kerja Ketua Polis Perak ke Pulau Pangkor di sini pada Selasa.
Beliau berkata, susulan daripada kejadian itu, polis telah menahan ibu bayi terbabit bagi membantu siasatan.
Katanya, wanita berusia 30 tahun yang bekerja sebagai jururawat itu didapati telah bercerai dengan suaminya sejak 6 bulan lepas.
"Wanita itu tidak mempunyai anak lain dan tinggal berdua bersama bayinya selepas bercerai.
"Polis kini menjalankan siasatan lanjut termasuk kemungkinan penglibatan individu lain dalam kes ini," katanya.
Mior Faridalathrash berkata, wanita itu telah direman selama tujuh hari sehingga 1 Ogos depan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!