Waktu operasi klinik kesihatan di Lembah Klang dilanjutkan
PUTRAJAYA- Waktu pengoperasian beberapa klinik kesihatan (KK) di Lembah Klang dilanjutkan bagi mengatasi isu kesesakan hospital.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, ia dilanjutkan sehingga jam 9 dan 10 malam setiap hari.
"Inisiatif ini bertujuan untuk mengurangkan kehadiran pesakit di Jabatan Kecemasan terutama membabitkan mereka yang tidak berdepan situasi memerlukan rawatan segera," katanya.
Menurutnya, langkah tersebut memerlukan pegawai perubatan di KK bertugas mengikut syif.
"Itu antara langkah yang dijalankan KKM bagi menguraikan pesakit zon hijau yang boleh dirawat di KK," katanya.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai isu kesesakan pesakit di hospital kerajaan seperti yang dilaporkan akhbar sebelum ini.
Dr Noor Azmi berkata, pengoperasian luar waktu pejabat itu akan diteruskan dan diperluas di negeri berdasarkan keperluan.
"Sebelum ini inisiatif ini pernah dilaksanakan namun dihentikan selepas penularan Covid-19," katanya.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Dr Azmi berkata, KKM tidak mempunyai prosedur operasi standard (SOP) khusus dalam mengawal penularan influenza di institut pendidikan.
"Ia adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Namun secara asasnya jika dijangkiti influenza, individu tersebut perlu mengasingkan diri daripada orang lain selain mengamalkan kebersihan diri dan mencuci tangan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!