JKM Melaka tamatkan bantuan 1,541 penerima
MELAKA - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka menamatkan bantuan kepada 1,541 penerima.
Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan, Datuk Kalsom Nordin berkata, tindakan itu diambil selepas pihaknya membuat proses kajian dan mendapati ada di antara penerima telah terkeluar daripada senarai syarat layak bantuan.
Menurutnya, majoriti penerima yang ditamatkan bantuan telah meninggal dunia dengan bilangan 794 orang atau 51.5 peratus.
Tambah beliau, seramai 193 penerima telah menukar skim bantuan, mampu berdikari (151 penerima), lain-lain (145), tidak layak (134), berpindah keluar daerah (123) dan seorang penerima lagi dirujuk ke agensi lain berkaitan.
"Penamatan itu tidaklah dilakukan begitu sahaja, namun melalui proses kaji semula berdasarkan keadaan semasa oleh pegawai JKM.
"Ada juga di antara penerima yang kita dapati wujud kriteria-kriteria tertentu harus ditamatkan bantuan bulanan tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Persidangan Ketiga, Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh pada Selasa.
Kalsom yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu berkata, proses mengkaji semula sebelum keputusan penamatan dibuat sebagai prosedur yang perlu dilaksanakan bagi semua jenis bantuan mengikut Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat.
"Prosedur itu membabitkan beberapa aspek seperti keadaan ekonomi, persekolahan, kesihatan, tempat tinggal, kemahiran atau latihan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!