Separuh penduduk di Johor adalah orang muda
ISKANDAR PUTERI - Hampir separuh bilangan penduduk di negeri ini merupakan golongan muda iaitu sebanyak 45.1 peratus daripada keseluruhan jumlah penduduk iaitu seramai 4 juta pada tahun lalu.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, populasi yang tinggi dalam kalangan orang muda ini bakal menjadi sumber pertumbuhan ekonomi pada tahun akan datang.
"Daerah Johor Bahru merupakan tempat tumpuan utama yang menawarkan peluang pekerjaan bagi golongan ini terutama dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan.
"Pertumbuhan ekonomi yang direkodkan pada kadar 2.4 peratus pada 2021 dijangka akan lebih tinggi dengan sumbangan kadar perbelanjaan dan pendapatan dalam kalangan golongan muda itu," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar dalam Siri Jelajah Parlimen Dan Dewan Undangan Negeri (DUN), Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 dan Prestasi Ekonomi Negeri Johor di Bangunan Sultan Ismail Kota Iskandar di sini pada Selasa.
Mohd Uzir berkata, majoriti belia yang bekerja dengan menggunakan kelayakan pendidikan menengah adalah 60.6 peratus diikuti pekerja dengan pendidikan tertinggi adalah sebanyak 31.7 peratus.
"Melihat kepada pembukaan sempadan ia mendorong kepada peningkatan pelbagai kegiatan ekonomi di pelbagai sektor termasuk sektor perkhidmatan.
"Kadar penyertaan tenaga buruh dalam kalangan siswazah juga dijangka mencatatkan perkembangan positif apabila meningkat sebanyak 85.3 peratus pada tahun 2020 berbanding 84.2 peratus tahun sebelumnya," katanya.
Mengulas lanjut katanya, DUN Senai merekodkan peratus umur bekerja (15 hingga 64 tahun) tertinggi iaitu 80.1 peratus.
Katanya, ia diikuti DUN Parit Raja 79.1 peratus, Bukit Naning 76.1 peratus dan Bukit Pasir 75.2 peratus.
"Nisbah tanggungan yang tertinggi di antara DUN pula dicatatkan di DUN Rengit 55.5 peratus, Sedili 53.6 peratus dan di Johor Lama 52.9 peratus.
"Manakala, komposisi penduduk umur tua iaitu 65 tahun dan lebih di Johor adalah pada 6.1 peratus iaitu lebih rendah berbanding nasional pada 6.8 peratus," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!