Saifuddin enggan ulas dua rakyat Malaysia ditahan imigresen Indonesia

Datuk Seri Saifuddin Abdullah - Foto Bernama
Datuk Seri Saifuddin Abdullah - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah enggan mengulas mengenai dua rakyat Malaysia yang ditahan pihak imigresen di sempadan Indonesia-Malaysia kerana disyaki menjadi pengintip.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, menteri lain akan menjawab mengenai isu terbabit.

“Yang ini biar menteri lain jawab,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Sebelum itu, dilaporkan seramai tiga rakyat asing yang disyaki menjadi pengintip ditahan pihak Imigresen di sempadan Indonesia-Malaysia.

Lapor Kompas.com, Ketua Kelas II, Pejabat Imigresen Tempat Pemeriksaan, Washington Saut Dompak berkata, dua individu tersebut merupakan rakyat Malaysia manakala seorang lagi warga China.

Jelasnya, kesemua suspek yang memasuki negara dari sempadan antarabangsa Tunon Taka, Nunuka, Kalimantan Utara akan ditahan selama 30 hari.

Sementara itu, Saifuddin memaklumkan, kabinet telah membuat keputusan pada Jumaat lalu bahawa Myanmar seharusnya tidak dijemput menghantar perwakilan politik ke semua mesyuarat di peringkat menteri.

“Pendirian Malaysia ialah Myanmar tidak sepatutnya dijemput untuk menghantar perwakilan politik ke semua sidang kemuncak Asean kerana kami tidak melihat kemajuan yang jelas dalam konsensus lima perkara.

“(Disebabkan) itu kami telah memutuskan untuk mengemukakan pendirian ini,” katanya.

Sebelum ini, pemimpin negara-negara anggota Asean mencapai lima kata sepakat mengenai krisis Myanmar selepas rampasan kuasa pada mesyuarat khas pemimpin blok serantau itu di Jakarta baru-baru ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!