Kertas siasatan dirujuk Timbalan Pendakwa Raya

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kertas siasatan berhubung kes seorang penceramah bebas yang didakwa telah beberapa kali merogol seorang remaja berusia 14 tahun akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya pada Rabu.

Suspek yang berusia lingkungan 30-an tersebut direman oleh Polis Kuala Lumpur selama empat hari bermula Ahad hingga Rabu selepas penceramah berkenaan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor 18 Julai lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, siasatan berhubung kes tersebut masih dijalankan berikutan ada beberapa kenyataan yang masih belum dirakam.

"Ada sedikit lagi kenyataan yang perlu kita kumpul namun saya percaya esok kita mampu rujuk kertas siasatan ini kepada Timbalan Pendakwa Raya.

"Jadi kita tunggu apa keputusan beliau sama ada sambung reman atau tidak. Jika ada keperluan untuk kita tambah kenyataan mungkin kita akan mohon reman itu disambung," katanya ketika ditemui di Pangkalan Polis Marin Putrajaya, di sini pada Selasa.

Pada 19 Julai, Sinar Harian melaporkan seorang penceramah bebas ditahan di IPD Kuala Selangor susulan laporan polis yang dibuat mangsa sekitar jam 11.15 malam pada 16 Julai.

Polis Selangor dilaporkan berkata, sebanyak empat kertas siasatan telah dibuka iaitu dua di Selangor, masing-masing satu di Kuala Lumpur dan Perak melibatkan pengadu yang sama.

Hasil siasatan awal mendapati, pengadu yang dikatakan mengalami masalah berkaitan agama telah berkenalan dengan suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an sejak Mei tahun lalu.

Difahamkan, polis turut menjalankan siasatan bagi melihat sama ada wujud unsur ugutan dilakukan suspek terhadap mangsa susulan berlaku beberapa hubungan intim sebelum ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!