Malaysia kutuk hukuman mati empat aktivis Myanmar
Saifuddin - Foto Bernama
A
A
A
Saifuddin berkata demikian pada Selasa dalam satu sidang media selepas bertemu Duta Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Myanmar, Noeleen Heyzer, yang mengulangi kutukan keras Setiausaha Agung terhadap hukuman mati itu, yang dilihat sebagai pencabulan terang-terangan terhadap hak untuk hidup, kebebasan, dan keselamatan manusia.
Saifuddin dan Noeleen semasa pertemuan berkenaan melihat pelaksanaan hukuman mati itu sebagai merencatkan usaha ASEAN, termasuk Konsensus Lima Perkara (5PC), dalam membantu mencari penyelesaian untuk Myanmar.
Beliau berkata, pelaksanaan hukuman mati itu berlaku kurang dua minggu selepas Duta Khas Pengerusi ASEAN ke Myanmar, Menteri Luar Kemboja Prak Sokhonn, melawat Myanmar dan hanya kira-kira seminggu sebelum mesyuarat menteri-menteri luar ASEAN di Phnom Penh pada 3 Ogos.
"Kami melihatnya seolah-olah junta mempersenda 5PC ASEAN dan saya fikir kita perlu melihat perkara ini dengan serius.
"Saya percaya pertemuan menteri-menteri luar ASEAN di Phnom Penh nanti akan meneliti perkara itu," katanya pada sidang media itu yang diadakan di bangunan Parlimen.
Hukuman mati terhadap empat lelaki itu - Phyo Zeya Thaw, bekas anggota Parlimen Liga Demokratik Kebangsaan (NLD); aktivis terkemuka Kyaw Min Yu, yang juga dikenali sebagai 'Ko Jimmy'; Aung Thura Zaw; dan Hla Myo Aung - yang kesemuanya didakwa di bawah undang-undang antikeganasan, merupakan hukuman mati pertama dilaksanakan di Myanmar sejak 1988, menurut Amnesty International, yang sehingga kini menganggap negara itu sebagai telah menghapuskan hukuman mati.
Pelaksanaan hukuman mati itu pada hujung minggu lepas yang mengejutkan dunia dilaporkan secara meluas dan menerima kecaman antarabangsa.
Sejak rampasan kuasa pada 1 Februari 2021, sekurang-kurangnya 2,114 orang telah dibunuh oleh kerajaan tentera yang diketuai Jeneral Min Aung Hlaing, dalam kempennya untuk menamatkan kebangkitan meluas terhadap pemerintahan tentera.
Saifuddin dan Noeleen turut kesal kerana tiada kemajuan sebenar ditunjukkan dalam pelaksanaan 5PC setakat ini, dan disebabkan itu Malaysia sangat menyokong idea Noeleen bahawa perlu ada rangka kerja yang sesuai untuk pelaksanaannya.
Malaysia akan membentangkan beberapa cadangan mengenai rangka kerja itu semasa Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN di Phnom Penh dengan elemen utama rangka kerja itu mesti ada garis penamat bagi 5PC ASEAN.
Melihat ke hadapan, Saifuddin dan Noeleen menekankan keperluan untuk penglibatan inklusif semua pihak berkepentingan di Myanmar.
Sementara itu, Saifuddin berkata Malaysia telah memutuskan Myanmar tidak dibenarkan menghantar perwakilan politik ke mana-mana mesyuarat peringkat menteri antarabangsa.
"Sebelum ini, pendirian Malaysia adalah Myanmar tidak seharusnya dijemput untuk menghantar perwakilan politik ke semua sidang kemuncak ASEAN kerana kita tidak melihat kemajuan yang jelas bagi 5PC," katanya.
Beliau berkata keputusan itu dibuat semasa mesyuarat kabinet Jumaat lalu atas alasan kerajaan Malaysia serius dalam isu perwakilan politik Myanmar.
Noeleen dalam misi dua hari beliau ke Kuala Lumpur atas jemputan Saifuddin turut mengadakan perbincangan yang sangat produktif dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengenai situasi di Myanmar. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!