PH tidak setuju RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020
SHAH ALAM - Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berpendirian tidak menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 (IPCC) yang dibentangkan di Parlimen.
Dalam kenyataan bersama pada Selasa, Majlis Presiden PH menegaskan, RUU berkenaan dilihat tidak memenuhi hasrat reformasi institusi selain mempunyai banyak kepincangan dan kelemahan.
“RUU IPCC yang dibentang di Parlimen lebih lemah berbanding badan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang wujud sekarang dan RUU IPCMC yang pernah dicadangkan dahulu.
“Sebagai contoh antara lainnya RUU IPCC ini mempunyai kelemahan-kelemahan jelas seperti anggota Suruhanjaya tidak berkecuali dan boleh dilucutkan bila-bila masa tanpa sebab, Setiausaha Suruhanjaya dilantik Menteri Dalam Negeri, manakala EAIC melantik setiausahanya sendiri pada masa ini,” menurut kenyataan itu.
Selain itu turut disenaraikan kelemahan RUU berkenaan termasuk tiada kuasa siasatan seperti EAIC; tidak membolehkan Suruhanjaya meneliti hal-hal di bawah Arahan Tetap Ketua Polis (IGSO) serta tiada peruntukan untuk suatu lembaga tatatertib.
Dalam pada itu PH berpendirian, tetap menyokong penuh RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 berhubung anti lompat parti yang bakal dibahas di Parlimen pada 27 dan 28 Julai 2022.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!