Tukar peguam bagi tangguh perbicaraan menyalahi etika guaman
SHAH ALAM - Strategi menukar peguam semata-mata untuk menangguhkan sesebuah kes perbicaraan adalah bertentangan dengan prinsip dan etika pengamal undang-undang.
Perkara itu terkandung dalam Peraturan Majlis Peguam dan Kaedah Profesion Undang-Undang (Praktis dan Etika) 1978 yang digubal di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976.
Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, berdasarkan Kaedah 6 di bawah Kaedah Amalan Guaman akta tersebut antara lain mengatakan seseorang peguam tidak boleh mengambil arahan guaman baharu melainkan dia sudah bersedia untuk menghadiri mahkamah.
“Jadi berpandukan kaedah ini, Mahkamah Persekutuan boleh bertanya kepada peguam kenapa dia bersetuju untuk mengambil kes yang tarikh perbicaraannya telah ditetapkan.
“Jadi peguam tidak boleh katakan kepada mahkamah yang dia tidak bersedia untuk mengambil kes kerana masih belum bersedia kerana baharu sahaja mengambil alih kes,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Jelas Mohamed Hanif, hakim boleh memakai prinsip tersebut dalam menggunakan budi bicaranya ketika memberikan keputusan terhadap sesuatu permohonan penangguhan.
Sementara itu, jika hakim menolak permohonan penangguhan maka semua pihak harus menerima keputusan tersebut dan tidak boleh mengatakan ia sebagai tidak adil kerana ia dibuat berdasarkan kepada prinsip perundangan dan kehakiman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!