Tambakan laut Bagan Ajam jejas mata pencarian nelayan
PERIT rasanya apabila turun ke laut tetapi tiada sebarang hasil untuk dibawa pulang.
Nelayan mendakwa, projek tambakan menyebabkan hidupan laut semakin berkurangan.
Wartawan Sinar Harian MOHD ISKANDAR OTHMAN mendengar keluhan komuniti nelayan di kawasan Bagan Ajam, Butterworth yang mengharapkan suara mereka didengar dan nasib mereka dibela.
Tiga hari berturut-turut gagal membawa pulang sebarang hasil tangkapan ikan antara musibah yang terpaksa dihadapi oleh nelayan di kawasan Bagan Ajam, Butterworth.
Semuanya didakwa akibat kesan projek tambakan laut yang dilakukan di perairan Pulau Pinang sejak beberapa tahun lalu hingga menjejaskan sumber pendapatan hampir 1,500 komuniti nelayan di negeri ini.
Kehidupan mereka semakin tertekan apabila terpaksa berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi ketika ini selain perlu menanggung kos penyelenggaraan enjin dan membeli peralatan menangkap ikan yang harganya tidak dikawal.
Berkongsi keperitan itu, nelayan Mohd Rusli Hassan, 41, mendakwa dia pernah terputus modal untuk turun ke laut berikutan gagal membawa pulang hasil tangkapan walaupun lebih enam jam memukat ikan.
Menurutnya, sejak kerja-kerja tambak laut dijalankan di kawasan Tanjung Tokong hingga ke Persiaran Gurney mengakibatkan hasil laut yang menjadi sumber pendapatannya selama ini berkurangan hingga 60 peratus.
Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, disebabkan kehabisan modal, dia terpaksa tebalkan muka meminjam wang daripada peraih ikan untuk kembali mencari rezeki.
“Bayangkan, itu baru kesan daripada projek tambakan yang dibuat di bahagian pulau dan cuba fikirkan apakah nasib kami sekiranya kerajaan negeri tetap meneruskan cadangan melaksanakan projek tambakan laut dari Bagan Ajam ke Telok Air Tawar yang melibatkan kawasan seluas 407 hektar.
“Sekiranya projek ini tetap diteruskan ia seolah-olah membunuh kami dan memusnahkan sumber laut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.
Seorang lagi nelayan, Mazlan Abdul, 54, berkata, walaupun bantahan demi bantahan telah dilakukan oleh komuniti nelayan terhadap projek yang melibatkan tambakan laut namun suara mereka langsung tidak diendahkan.
Jelasnya, isu berkenaan bukan perkara baharu malah beberapa memorandum juga telah dihantar ke pihak bertanggungjawab termasuk di Parlimen bagi menghalang projek yang menjejaskan mata pencarian nelayan.
“Tiada siapa yang pedulikan nasib kami dan apa yang lebih menyedihkan, kami langsung tidak ditawarkan sebarang pampasan berikutan kerakusan kerajaan negeri mengejar pembangunan,” luahnya.
Mazlan berkata, disebabkan pendapatan yang semakin merosot, komuniti nelayan di Bagan Ajam telah mengambil inisiatif dengan menghasilkan produk hasil laut seperti belacan dan ikan masin selain menanam serai untuk dijual.
Sementara itu, Abu Bakar Ahmad, 43, pula berkata, mereka tiada pilihan selain terpaksa menjalani kehidupan dengan serba kekurangan disebabkan masalah yang gagal diselesaikan oleh pihak bertanggungjawab.
“Dengan pendapatan tidak menentu dan dihimpit kos sara hidup yang tinggi sudah pasti kami mengharapkan nasib kami dibela, suara kami didengar dan laut kami dipelihara,” katanya lagi.
SIA diluluskan tanpa ambil pandangan komuniti nelayan
Sementara itu, Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (Pen Mutiara) mempertikaikan kelulusan Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) yang diberikan untuk projek tambakan laut di Bagan Ajam di sini tanpa mendapat pandangan daripada komuniti nelayan.
Pengerusi Pen Mutiara, Mahadi Md Rodzi berkata, kelulusan yang diberikan tanpa mengambil kira suara nelayan dan penduduk setempat itu menimbulkan tanda tanya apabila ia dilaksanakan tanpa mengikut prosedur sepatutnya.
Menurut Mahadi, perkara itu dimaklumkan pihak ketiga kepadanya dalam satu mesyuarat baru-baru ini namun beliau belum menerima sebarang dokumen yang sepatutnya diberikan mengenai laporan penilaian itu.
“Adakah ada ‘tangan ghaib’ yang meluluskan SIA ini tanpa memikirkan nasib nelayan yang akan hilang punca rezeki disebabkan projek ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Tambahnya, kerajaan negeri seharusnya lebih telus dan lebih prihatin dengan nasib rakyat yang bakal terkesan sekiranya projek tambakan laut ini dilaksanakan di Bagan Ajam.
Ujarnya, komuniti nelayan di negeri ini bukan menghalang pembangunan yang diusahakan kerajaan negeri namun pembangunan yang ingin dilaksanakan itu biarlah tidak memberi kesan kepada alam sekitar dan rakyatnya sendiri.
“Jika projek ini tetap diteruskan pastinya ia memberi kesan kepada nelayan dari Bagan Dalam sehingga Kuala Muda selain menyebabkan ekosistem marin terganggu yang akan memberi kesan jangka panjang kepada kita.
“Sekali lagi saya tegaskan, kami sebulat suara menolak sebarang projek tambak laut di seluruh negeri ini termasuk rancangan tambakan di perairan selatan Pulau Pinang (PSR) dan di Bagan Ajam,” katanya.
Kini terdapat dua projek tambak laut yang dirancang kerajaan negeri iaitu PSR membabitkan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut dan tambakan laut dari Bagan Ajam ke Telok Air Tawar seluas 407 hektar dalam daerah Seberang Perai Utara (SPU).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!