35 emas bukan misi mustahil
SELEPAS ditangguhkan penganjurannya hampir dua tahun akibat pandemik Covid-19, kini temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) kembali diadakan dengan Thailand menjadi tuan rumah.
Pada temasya AUG kali ini, kontinjen Malaysia yang akan diketuai Profesor Dr Mohd Fo’ad Sakdan mempertaruhkan seramai 275 atlet yang akan menggalas cabaran dalam 19 daripada 23 acara dipertandingkan.
Berdasarkan ‘kekuatan’ atlet dan acara yang disertai, kontinjen Malaysia menyasarkan 35 pingat emas selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuklah ketiadaan beberapa atlet yang beraksi pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Mohd Fo’ad berkata, beliau yakin sasaran itu mampu dicapai kontinjen Malaysia berdasarkan kepada prestasi semasa atlet yang bertanding di pentas AUG 2022 meskipun ketiadaan beberapa nama ‘berprofil tinggi’.
Malah, beliau juga tidak terkejut sekiranya barisan atlet negara mampu meraih lebih pingat emas daripada apa yang disasarkan pada AUG kali ini yang telah memasuki edisi ke-29.
“Kalau diikutkan, sasaran sebenar lebih daripada 35 emas. Namun, selepas membuat perincian sewajarnya dengan ketiadaan beberapa atlet yang terlibat ke Birmingham dan beberapa atlet lagi yang terlibat dalam kejohanan lain, jadi kami menyasarkan 35 emas.
“Apa pun saya tetap yakin sasaran 35 pingat emas itu mampu untuk dicapai. Ini kerana berdasarkan prestasi atlet-atlet yang menyertai temasya AUG kali ini, mereka mampu untuk merealisasikan sasaran itu,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.
Pada edisi 2018, kontinjen Malaysia meraih 37 pingat emas - melepasi sasaran awal 35 emas selain membawa pulang 43 perak dan 49 gangsa untuk menduduki tempat ketiga keseluruhan di belakang Thailand dan Indonesia.
Namun, ia bukanlah pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaan kontinjen Malaysia pada temasya dwitahunan itu yang menjadi medan atlet bergelar pelajar universiti menunjukkan ‘kehebatan’ mereka di gelanggang pertandingan.
Berdasarkan rekod, kontinjen Malaysia pernah menjadi juara keseluruhan dengan mengutip 90 pingat emas, 79 perak dan 47 gangsa ketika menjadi tuan rumah pada edisi 2008 yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, ketika ditanya berkenaan sukan yang akan menjadi ‘lubuk emas’ bukan kontinjem Malaysia pada edisi kali ini, Mohd Fo’ad memberitahu, sandaran utama sudah pasti terarah kepada skuad renang.
“Seperti yang kita lihat dalam beberapa temasya AUG sebelum ini, skuad renang selalunya menjadi ‘lubuk’ buat kontinjen Malaysia untuk membawa pulang pingat terutamanya emas.
“Jadi sama juga bagi edisi kali ini, saya menyasarkan banyak emas akan disumbangkan daripada skuad renang. Tetapi tidak mustahil juga ada acara sukan lain yang mampu menyumbang banyak emas kepada kontinjen Malaysia,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau juga berharap skuad bola sepak yang akan mengambil bahagian pada temasya AUG kali ini mampu untuk menamatkan kemarau ‘ibu’ segala pingat itu.
Meskipun ia bukan satu tugas yang mudah, Mohd Fo’ad optimis skuad bola sepak universiti kali ini mampu memberikan cabaran dan tentangan sengit dalam usaha mencipta kejutan di bumi Thailand.
“Kebanyakan pemain kita adalah daripada IPT (institusi pengajian tinggi) yang bertanding dalam saingan Piala KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) dan juga dalam beberapa liga tempatan.
“Kita akan cuba yang terbaik walaupun sedia maklum berlawan di Thailand yang sudah tentu menjadi kekuatan tuan rumah. Jika kita menang emas acara bola sepak yang dianggap ibu segala pingat, ia sudah dianggap bonus,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!