Berilah bayaran setimpal untuk golongan al-Hafiz

Semua diharap dapat menghargai peranan penting yang dimainkan golongan huffaz ini. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
Semua diharap dapat menghargai peranan penting yang dimainkan golongan huffaz ini. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

BARU-BARU ini Sinar Harian melaporkan tentang individu bergelar huffaz yang meraih pelbagai kejayaan dalam pelbagai bidang profesional.

Kisah hidup mereka menjadi satu inspirasi kepada rakan-rakan yang kini sedang menuntut di pusat atau pondok tahfiz di seluruh negara.

Bagaimanapun, di sebalik kisah kejayaan tersebut, terdapat segelintir golongan huffaz yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Mereka ini bertungkus lumus untuk mempelajari ilmu-ilmu al-Quran dan kebanyakan daripada mereka menjadi guru dalam bidang tersebut.

Malangnya, gaji yang diterima oleh mereka tidak setimpal dengan kemahiran dan ilmu yang dimiliki.

Satu ketika dahulu Merak Jalanan ada dengar kisah ibu bapa yang berkira untuk membayar RM30 kepada guru al-Quran untuk anak mereka.

Jika ibu bapa boleh bayar yuran tuisyen yang banyak untuk anak-anak mereka maka tidak sepatutnya berkira membayar bagi kelas pengajian al-Quran.

Memang benar ilmu dunia penting tetapi ilmu akhirat jauh lebih penting bagi membina sahsiah anak-anak.

Jadi Merak Jalanan harap kita semua dapat menghargai peranan penting yang dimainkan golongan huffaz ini.

Mereka juga manusia biasa yang ada keluarga untuk diberi makan dan memenuhi keperluan dalam kehidupan.

Memang benar ulat dalam batu pun boleh hidup kerana rezeki itu kuasa ALLAH, namun kita diajar supaya berusaha mencari rezeki yang halal dan golongan huffaz ini juga berusaha untuk kelangsungan hidup mereka.

Usaha mereka selama bertahun-tahun mendalami ilmu al-Quran ini juga sama seperti seorang doktor yang mempelajari ilmu perubatan atau peguam menghafal akta-akta penting dalam undang-undang.

Jika golongan ini dibayar dengan tinggi mengapa golongan huffaz tidak mendapat bayaran setimpal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!