Jangan terjerat penipuan kontraktor haram
KETIKA rakyat bergelut dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, ada pihak yang tidak bertanggungjawab tergamak mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan.
Tidak terhad kepada indusri makanan dan perubatan, bidang pembinaan juga dicemari dengan penipuan kontraktor haram.
Seperti laporan Sinar Harian pada Rabu, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mendedahkan telah menerima sebanyak 135 aduan berkaitan penipuan kontraktor pembinaan sejak Januari lau.
Hal ini berlaku kerana pengguna mempercayai perkhidmatan kontraktor yang tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) ekoran lebih mudah untuk berurusan, tawaran harga lebih murah dan fleksibel.
Bagaimanapun, tidak ramai mangsa yang berani tampil membuat aduan ekoran kekangan kewangan untuk membayar kos guaman sekiranya mahu membawa kes ke mahkamah sivil.
Justeru, pengguna dinasihatkan untuk membuat aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) bagi mendapatkan hak sewajarnya.
Dalam pada itu pengguna juga dinasihatkan untuk membuat semakan dengan agensi berkaitan agar tidak mudah ditipu oleh kontraktor dan terpedaya dengan perjanjian yang tidak didokumentasikan.
Peguam, Muhammad Akram Abdul Aziz memberi peringatan tersebut ekoran mana-mana pihak atau kontraktor yang ingin menjalankan kerja-kerja pembinaan perlu berdaftar dengan CIDB.
Jika didapati kontraktor berkenaan tidak berdaftar, mereka boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM100,000 jika disabit kesalahan.
Oleh itu, dalam keghairahan untuk membina atau mengubah suai rumah bagi memenuhi kehendak dan keperluan, masyarakat dinasihatkan untuk mengambil langkah bijak agar tidak menjadi mangsa hingga mengakibatkan kerugian besar..
Jadilah pengguna yang bijak, elak diri ditipu kontraktor haram.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!