'Peluang pekerjaan banyak tapi anak Kelantan suka merantau'

Mohd Amar (tengah) pada Program Dialog Kemakmuran Ekonomi dan Pembangunan Kelantan di Kota Bharu pada malam Selasa.
Mohd Amar (tengah) pada Program Dialog Kemakmuran Ekonomi dan Pembangunan Kelantan di Kota Bharu pada malam Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Sikap orang Kelantan yang suka merantau menyebabkan mereka memilih untuk tidak bekerja dalam negeri, walaupun peluang tersebut banyak, demikian pandangan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Menurutnya, masalah itu tidak hanya berlaku di Kelantan sebaliknya turut melibatkan kawasan-kawasan lain termasuklah Malaysia apabila satu kajian mendedahkan lebih 500,000 rakyat bekerja di luar negara.

Dalam hal tersebut katanya, kerajaan negeri akan cuba mencari jalan untuk menggalakkan anak-anak Kelantan bekerja di negeri sendiri.

"Ini semua disebabkan sikap dan jika ada keperluan kita akan bina satu platform untuk memberi maklumat kepada rakyat bagi menarik minat mereka bekerja di negeri sendiri," katanya pada Program Dialog Kemakmuran Ekonomi dan Pembangunan Kelantan anjuran bersama Dewan Usahawan Kelantan, Dewan Perniagaan Cina Kelantan dan Kerajaan Kelantan di sini pada malam Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan mengenai peluang pekerjaan yang dilihat kurang di Kelantan sehingga menyebabkan rakyat di negeri ini berhijrah keluar ke tempat lain.

Mengulas lanjut perkara itu, beliau berkata, sikap suka merantau juga boleh dilihat dalam bidang pendidikan sebagai contoh di kampungnya di Panchor, walaupun ada kemudahan sekolah di kawasan itu tetapi ramai memilih untuk belajar di Kota Bharu.

Begitu juga dengan kemudahan institusi pendidikan di Kelantan seperti Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, namun rakyat dilihat lebih suka belajar di Kuala Lumpur.

"Sebagai contoh dalam bidang perladangan banyak peluang pekerjaan macam syarikat kelapa sawit dan gaji agak tinggi tapi rakyat Kelantan tidak berminat sehingga terpaksa menggunakan tenaga kerja warga asing," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!