Sembunyi bawah katil takut ditangkap khalwat
KULIM - Taktik seorang lelaki bersembunyi bawah katil dalam sebuah bilik hotel di sini, tidak berjaya setelah helahnya disedari penguat kuasa agama yang melakukan serbuan.
Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Shariffudin Mat Saad berkata, lelaki berstatus suami orang berusia 24 tahun itu sanggup datang dari Bagan Serai, Perak semata-mata ingin melakukan maksiat bersama wanita terbabit.
Menurutnya, berdasarkan maklumat, pasangan itu mengaku telah berjanji bertemu di hotel terbabit sebelum dicekup dalam serbuan dilakukan kira-kira jam 10.15 malam Selasa.
"Hasil maklumat awal mendapati kedua-duanya berkenalan menerusi satu aplikasi pornografi di media sosial pada jam 8 pagi hari yang sama," katanya.
Menurut Anwar, semakan lanjut mengesahkan pasangan itu tidak mempunyai sebarang pertalian dan bukan mahram.
"Difahamkan, wanita beralamat dari Karangan itu telah menempah bilik sejak jam 3 petang, manakala pasangan yang baharu dikenali dalam tempoh kurang 24 jam itu tiba kira-kira jam 8 malam.
"Hasil soal siasat awal juga mendapati lelaki terbabit mengaku sudah berkahwin namun isterinya kini sedang menjalani rawatan dialisis," katanya.
Mereka ditahan mengikut Seksyen 25 (a)(b) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat.
Kedua-duanya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!