Lanjutan SOSMA beri peluang polis laksana tugas lebih efisien

Acryl Sani
Acryl Sani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelanjutan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) (Akta 747) akan memberi peluang untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan tanggungjawab dengan lebih efisien demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, PDRM menyambut baik keputusan Dewan Rakyat pada Selasa yang telah meluluskan usul pelanjutan Subseksyen 4(5) Akta SOSMA 2012 untuk terus berkuat kuasa bagi tempoh lima tahun bermula 31 Julai ini.

"PDRM juga turut menyambut baik keputusan Dewan Rakyat meluluskan usul Rang Undang-undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).

"Penubuhan IPCC demi mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap PDRM," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Acryl Sani berkata, PDRM amat menghargai usaha kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN), khususnya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang telah mengemukakan semula usul pelanjutan Subseksyen 4(5) Akta SOSMA 2012 dan pada masa yang sama juga membacakan RUU IPCC 2020 untuk bacaan kali kedua dan ketiga di Dewan Rakyat.

"Komitmen KDN dan ahli Parlimen lain membolehkan usul pelanjutan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta SOSMA (2012) dan RUU IPCC diluluskan adalah sokongan yang sangat besar dalam penguatkuasaan undang-undang di Malaysia.

"PDRM komited untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara," katanya.

Pada Selasa media melaporkan Hamzah meminta supaya Akta SOSMA tidak disamakan dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Beliau berkata, SOSMA memberi keadilan buat orang yang ditahan seperti peluang berjumpa peguam dan kes kesalahan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!