LTSIP jadi pintu masuk negara Asia Tenggara

Mohd Amar Abdullah
Mohd Amar Abdullah
A
A
A

KOTA BHARU - Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa di sini yang sedang dinaik taraf kepada antarabangsa ketika ini bakal menjadi destinasi ke negara-negara di rantau Asia Tenggara.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, cadangan tersebut telah disuarakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Perdana Menteri bersetuju untuk menaik taraf LTSIP kepada lapangan terbang antarabangsa yang akan mengendalikan penerbangan ke negara-negara di rantau Asia Tenggara.

"Ini merupakan peluang yang baik dan dijangka jumlah penumpang yang akan menggunakan lapangan terbang ini ialah 4 juta orang setahun berbanding sekarang hanya 1 juta orang sahaja," katanya pada Program Dialog Kemakmuran Ekonomi dan Pembangunan Kelantan di sini pada malam Selasa.

Program tersebut merupakan anjuran bersama Dewan Usahawan Kelantan (DUKE), Dewan Perniagaan Cina Kelantan dan Kerajaan Kelantan.

Menurutnya, Kelantan berada di tempat ketiga lapangan terbang paling sibuk di Malaysia selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Beliau berkata, peluang ini akan digunakan sebaik mungkin untuk mengembangkan perkhidmatan ke peringkat Asia Tenggara selain memacu ekonomi Kelantan ke arah yang lebih mampan pada masa hadapan.

Sinar Harian pada 4 September tahun lalu melaporkan LTSIP, Pengkalan Chepa dalam proses pembesaran turut bersedia menjadi lapangan terbang antarabangsa selepas siap sepenuhnya 2024 nanti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, lapangan terbang dengan kos RM440 juta itu mampu menampung sehingga empat juta penumpang setahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!