MHO dakwa waris kesultanan Sulu rekrut rakyat Sabah

Hishammudin
Hishammudin
A
A
A

KOTA KINABALU - Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendakwa ada pihak yang kini waris kesultanan Sulu kini sedang aktif merekrut rakyat di negeri ini khususnya di Lahad Datu.

Setiausaha MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kegiatan itu disedari oleh sukarelawan MHO di Sabah selepas dimaklumkan melalui aplikasi WhatsApp pada Isnin lalu.

"Dimaklumkan bahawa terdapat kegiatan aktif yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu dalam merekrut warga tempatan di Sabah khususnya di Lahad Datu dengan memberikan dokumen-dokumen pengenalan diri yang dipercayai bagi kesultanan Sulu dan juga perakuan taat setia individu-individu penduduk Sabah kepada kesultanan Sulu.

"Hantaran WhatsApp itu turut mengandungi gambar-gambar yang berbentuk seakan dokumen identiti diri bagi kesultanan Sulu dan juga perakuan taat setia individu-individu penduduk Sabah kepada kesultanan Sulu," katanya dalam kenyataan pada petang Selasa.

Beliau mendakwa gambar terbabit mengandungi dokumen identiti diri dan terdapat juga cap jari kanan serta kiri pemilik dokumen identiti berkenaan.

"Umum mengetahui bahawa kesultanan Sulu adalah pihak yang berkaitan dan bertanggungjawab terhadap serangan pengganas Sulu di Lahad Datu yang mana serangan pengganas Sulu jelas adalah suatu tindakan berbentuk kesalahan keganasan dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

"Serangan berdarah pengganas Sulu di Lahad Datu itu terjadi pada 2013 dan telah mengorbankan 12 wira negara yang merupakan anggota keselamatan negara.

"Kegiatan mana-mana pihak atau individu yang merekrut rakyat tempatan di negeri ini untuk mengikrarkan taat setia kepada kesultanan Sulu dan juga memberikan dokumen pengenalan diri yang dipercayai bagi kesultanan Sulu kepada rakyat tempatan di Sabah adalah jelas suatu kesalahan menderhaka di bawah Kanun Keseksaan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan juga Yang di-Pertua Negeri Sabah," katanya.

Sehubungan itu, pihak MHO mengecam segala usaha dan kegiatan yang dilakukan oleh mana-mana pihak dalam merekrut kumpulan untuk memberikan taat setia kepada anasir asing khususnya kesultanan Sulu.

"Pihak MHO juga mengecam usaha dan kegiatan untuk bersekongkol, menyokong atau memihak dengan kumpulan penceroboh, pengancam keselamatan atau pengganas.

"Semua pihak juga diseru menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berkenaan kegiatan mana-mana individu, gerakan atau kumpulan yang cuba merekrut atau pihak yang cuba menceroboh dan mencemarkan kedaulatan negara.

"Dengan ini, pihak MHO akan mengerahkan sukarelawan-sukarelawan MHO khususnya yang berada di Sabah untuk membuat laporan polis berkenaan hantaran WhatsApp tersebut dan menyeru pihak polis untuk menyiasat gambar-gambar yang berbentuk seakan dokumen identiti diri bagi kesultanan Sulu dan juga perakuan taat setia individu penduduk Sabah kepada kesultanan Sulu itu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!