Kelantan semak balik tutup aktiviti perniagaan raya pertama

Mohd Amar
Mohd Amar
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan akan menyemak semula perlaksanaan penutupan premis perniagaan pada hari raya pertama yang telah menimbulkan kekeliruan pada sambutan Aidiladha lalu.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan sudah mengambil maklum perkara tersebut dan akan membuat penyelarasan bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan pada masa hadapan.

"Hal ini kerana, kita tidak mahu menjejaskan mana-mana pihak apabila tindakan tersebut diambil," katanya selepas menjawab soalan yang dikemukakan oleh salah seorang peserta pada Program Dialog Kemakmuran Ekonomi dan Pembangunan Kelantan di sini pada malam Selasa.

Program tersebut merupakan anjuran bersama Dewan Usahawan Kelantan (DUKE), Dewan Perniagaan Cina Kelantan dan Kerajaan Kelantan.

Menurutnya, penutupan premis itu hanya melibatkan pasar raya dan tidak melihatkan premis-premis perniagaan yang lain.

Beliau mengakui berkemungkinan besar wujud kekeliruan dalam perlaksanaan perkara tersebut.

Mohd Amar berkata, kerajaan membuat keputusan tersebut selepas mengambil kira keluhan yang dibuat oleh pekerja untuk menyambut hari raya apabila mereka tidak boleh bercuti.

"Situasi itu menyebabkan mereka tidak dapat menyambut hari raya dengan sempurna sebagaimana orang lain.

"Saya berpandangan kebiasaan pada sambutan hari raya atau kebesaran agama-agama lain semua akan bercuti.

"Sebagai contoh semasa sambutan Tahun Baharu Cina seluruh masyarakat berkenaan menutup premis perniagaan mereka. Biasanya hari pertama orang akan cuti dan menyambut hari raya masing-masing," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, semua premis perniagaan seperti pasar raya, restoran makanan segera dan kedai serbaneka di negeri ini menutup operasi pada hari raya pertama untuk membolehkan pekerja Muslim menyambut Aidiladha.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!