Polis siasat dakwaan ADUN Pahang tangkap ikan guna bahan letupan

Tular dakwaan ADUN Pahang menggunakan bahan letupan untuk menangkap ikan di Sungai Sepia, Ulu Tembeling, Jerantut. (Gambar kecil): Mohd Yusri Hassan Basri
Tular dakwaan ADUN Pahang menggunakan bahan letupan untuk menangkap ikan di Sungai Sepia, Ulu Tembeling, Jerantut. (Gambar kecil): Mohd Yusri Hassan Basri
A
A
A

KUANTAN - Kertas siasatan telah dibuka berhubung isu tular kes menggunakan bahan letupan untuk menangkap ikan di Sungai Sepia, Ulu Tembeling, Jerantut yang dikaitkan dengan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan melibatkan dua agensi iaitu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Menurutnya, polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menularkan laporan berkaitan kes terbabit di media sosial.

"Siasatan berhubung dakwaan menggunakan bahan letupan dijalankan pihak Perhilitan," katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Rabu.

Mohd Yusri berkata, siasatan masih dijalankan dan pihaknya juga akan memanggil semua saksi kes terbabit untuk membantu siasatan," katanya.

Laporan polis telah dibuat berhubung insiden itu.

Susulan itu, seorang kontraktor tampil menafikan dakwaan menggunakan peledak letupan untuk menangkap ikan di Sungai Sepia, Ulu Tembeling seperti yang tular di laman sosial baru-baru ini.

Mohd Rosli Awang, 44, sebaliknya mengaku melemparkan mercun bola ke sungai terbabit pada 16 Julai lalu.

Tindakan itu juga didakwa tiada kaitan dengan pihak lain termasuk seorang ADUN yang ketika itu dalam rangka lawatan kerja ke Ulu Tembeling.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!